Pas nafi ambil tindakan terhadap wakil Perlis – Takiyuddin


Pas menafikan mengambil tindakan termasuk menggantung keahlian Ketua Penerangan Pas Perlis, Mohd Saifizi Saidon, susulan ucapannya pada persidangan muktamar parti itu, Sabtu lalu.

(BH) – Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sehingga kini, tiada sebarang tindakan dilakukan terhadap perwakilan itu.

“Setakat ini kita tidak ada mengambil sebarang tindakan terhadap perwakilan Pas dari Perlis itu. Tiada langsung.

“Kenyataan yang tular itu adalah palsu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pesta Tanglung Kelantan, di sini, malam tadi.

Ketika ditanya sama ada teguran akan dibuat terhadap perwakilan berkenaan, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu memaklumkan perkara itu dalam pemerhatian pihaknya.

“Itu dalam pemerhatian kita, kita perlu teliti terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu tular satu kenyataan media berhubung tindakan disiplin dikenakan terhadap Mohd Saifizi kerana memberi ucapan yang tidak mencerminkan parti yang berintegriti dan amanah pada Muktamar Tahunan Pas ke-70, Sabtu lalu.

Menerusi kenyataan media itu turut memaklumkan Jawatankuasa Disiplin Pas sudah mengambil keputusan untuk menggantung keahlian Mohd Saifizi sehingga ke satu tempoh yang ditentukan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang perwakilan Pas dari Perlis ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas di Muktamar Tahunan Pas ke-70, meluahkan rasa sedih melihat kualiti ada pada segelintir pemimpin parti itu yang semakin pudar.

Mohd Saifizi mendakwa ini kerana ada pemimpin Pas berkali-kali dilihat bersalaman dengan wanita, namun tidak pula diambil tindakan.

Dakwa beliau lagi, tidak kurang juga ada pemimpin Pas yang berkaraoke tetapi dipertahan ulama parti itu.



Comments
Loading...