Petisyen PRK Nenggiri: ‘Pengundi tak mahu jadi saksi’ – BERSATU


Perikatan Nasional (PN) sehingga kini tidak dapat memfailkan petisyen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri berikutan tiada pengundi yang mahu menjadi saksi di mahkamah.

(BH) – Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor, bagaimanapun berkata pihaknya tetap akan berusaha untuk mendapatkan bukti berkenaan.

“Masalah kita sekarang adalah untuk mendapatkan saksi bagi pembuktian. Semua orang tahu dan mereka (pengundi) sendiri pun kata terima (duit), namun mereka tidak mahu menjadi saksi.

“Mereka (BN) pun pandai kerana mereka tidak memberi duit berkenaan kepada penyokong tegar PAS atau BERSATU.

“Mengikut peguam, kita perlu pastikan ada saksi yang menerima sebelum memfailkan petisyen berkenaan dan peguam kita masih berusaha mencari jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Tanglung Kelantan, di sini, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan, PN sedang mengumpul bukti untuk memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Nenggiri, 17 Ogos lalu.

Bukti itu membabitkan dakwaan BN merasuah dan mengancam pengundi sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu.

Pada PRK DUN Nenggiri lalu, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, merampas semula kerusi Nenggiri untuk UMNO dengan memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada PN, Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.



Comments
Loading...