‘Sifat mengikat MoU memandulkan dan membonsaikan peranan pembangkang’, – Hassan


Kewujudan memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dengan ahli Parlimen pembangkang serta gabungan pembangkang didakwa bercanggah dengan amalan demokrasi berparlimen.

(BH) – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan cadangan memperkenalkan MoU pada asasnya juga satu contoh pencerobohan kuasa eksekutif iaitu kerajaan yang berkuasa terhadap kebebasan ahli Parlimen pembangkang, pihak penting di dalam Parlimen.

Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan katanya, menetapkan setiap ahli Parlimen tanpa kecuali dikehendaki mengangkat sumpah dan kandungan sumpah itu antara lainnya, meminta setiap anggota Parlimen itu bersumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia.

“Satu ciri penting Perlembagaan Persekutuan ialah mengamalkan prinsip pengasingan kuasa. Tetapi MoU berkenaan sudah mengikat peranan dan fungsi Ahli-ahli Parlimen pembangkang di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ahli Parlimen sama ada di pihak kerajaan, pembangkang atau bebas apabila sudah menandatangani dokumen angkat sumpah mereka di hadapan Speaker Dewan Rakyat, maka mereka terikat dengan sumpah itu.

“Tidak perlu menandatangani satu lagi dokumen yang bernama MoU antara kerajaan dan pihak pembangkang. Sifat mengikat MoU itu akan memandulkan dan membonsaikan peranan ahli Parlimen pembangkang dan gabungan parti pembangkang di Parlimen.

“Mereka hilang kebebasan untuk berperanan sebagai satu kuasa efektif untuk melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan,” katanya.

Hasan mendakwa ahli Parlimen pembangkang dan gabungan pembangkang yang juga kerajaan bayangan terpaksa tutup mulut dalam perkara penting membabitkan hal rakyat dan negara.

“Kenapa? kerana mereka sudah menandatangani MoU dengan kerajaan iaitu badan eksekutif. Jadi MoU dikemukakan kerajaan bersifat membelenggu kebebasan Ahli-ahli Parlimen pembangkang dan gabungan pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, cadangan mengenakan syarat menandatangani MoU juga boleh dianggap pihak eksekutif cuba melanggar prinsip pengasingan kuasa kerana dengan sengaja cuba melemahkan blok pembangkang di Parlimen.

“Reformasi dikehendaki di Parlimen ialah kerajaan membawa satu Rang Undang-Undang (RUU) Peruntukan kawasan parlimen, bahawa setiap kawasan Parlimen di seluruh negara diberi hak secara automatik tanpa syarat, tanpa perlu menandatangani sebarang perjanjian atau MoU.

“Setiap ahli Parlimen sama ada di blok kerajaan, pembangkang atau bebas dijanjikan oleh undang-undang untuk mendapat peruntukan kawasan parlimen masing-masing sama banyak dan sama adil.

“Undang-undang seperti inilah yang mesti diinstitusikan mulai sekarang bukannya MoU seperti yang dihebohkan kini,” katanya.



Comments
Loading...