Sijil halal: Dasar sedia ada kekal, permohonan bersifat sukarela – Zahid


Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju mengekalkan dasar sedia ada bahawa permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) perlu bersifat sukarela seperti mana ia dilaksanakan sejak 1974.

(BH) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengekalan dasar sedia ada ini bermaksud ia terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia.

Katanya, melalui sijil diperoleh itu, ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang SPHM atas komitmen tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal.

“Justeru, JAKIM menggesa pemain industri untuk memohon SPHM memandangkan ia boleh memberi jaminan dan menarik pelanggan beragama Islam untuk makan tanpa keraguan di premis berkenaan,” katanya hari ini.

Permohonan sijil halal dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar melakukan kajian dan menyediakan laporan lengkap berhubung isu pensijilan halal.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Perdana Menteri mahu hasil kajian dan laporan lengkap berhubung cadangan mewajibkan pensijilan halal untuk setiap premis makanan itu dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri.

Isu pensijilan halal menjadi polemik selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dilapor berkata pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela untuk membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Beliau dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan untuk memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.

Ia susulan kenyataan Mohd Na’im, bahawa JAKIM sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran serta syarikat makanan untuk memiliki sijil halal.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal berkata, bagi menggalakkan pihak industri memohon SPHM khususnya dalam kalangan industri mikro dan kecil, pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi pembimbing usahawan di semua peringkat turut ditawarkan pelbagai insentif dan inisiatif dalam bentuk latihan dan bimbingan serta geran dalam memastikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan boleh dipersijilkan halal.

“JAKIM turut memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia bagi mempercepatkan pengurusan pensijilan halal Malaysia dalam tempoh 30 hari.

“Statistik menunjukkan antara Januari hingga Julai lalu, sebanyak 96 peratus permohonan berjaya diuruskan dalam tempoh ditetapkan. Usaha proaktif ini berupaya menjadi salah satu tarikan kepada pihak industri untuk memohon SPHM.

“JAKIM, MAIN dan JAIN sentiasa komited untuk terus memperkemas dasar sedia ada demi menambah baik pengurusan dan sistem penyampaian perkhidmatan dari semasa ke semasa bagi memastikan pensijilan halal Malaysia terus diyakini dan kekal sebagai rujukan dunia,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, JAKIM sentiasa berusaha mempertingkatkan kesedaran semua pihak mengenai kepentingan serta kebaikan sijil halal Malaysia dalam industri makanan dan perniagaan.

“Dalam pada masa sama, JAKIM, MAIN serta JAIN akan bertindak tegas kepada individu atau mana-mana pihak yang cuba memalsukan SPHM demi memastikan kualiti dan standard pensijilan halal Malaysia sentiasa terpelihara.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited terus memperkukuh pengurusan pensijilan halal Malaysia demi kepentingan dan kebaikan untuk negara,” katanya.



Comments
Loading...