‘Kami dah tak percaya walaupun draf baharu dikemukakan’ – Muhyiddin
Perikatan Nasional (PN) mengulangi pendirian akan menolak memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sekali pun ada cadangan draf baharu dikemukakan kepada kerajaan.
(BH) – Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini kerana pihaknya tidak yakin dengan cadangan dikemukakan pembangkang itu akan diterima kerajaan.
Katanya, kerajaan perlu berlapang dada untuk tidak mendesak Ahli Parlimen PN dengan meletakkan beberapa syarat yang tidak masuk akal semata-mata mahu menyalurkan peruntukan.
“Kenapa kita perlu ada MoU? Sebabnya adalah wajar sememangnya peruntukan diberikan kepada semua seperti mana dijanjikan PH dalam manifesto.
“Malang sekali, dia tak tunai janji manifesto tapi kami sewaktu memerintah, kita bagi semua, tak perlu mohon pun dan tak ada surat pun.
“Kita tak ada CSA (Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan), MoU jauh sekali, kita bagi contoh negeri di utara di bawah pentadbiran PN, semua peruntukan disalurkan” katanya selepas Perjumpaan dan Sesi Dialog NGO, NGI di Dewan Lamanara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pilihan PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar atau Coach Haizan.
Menurut Muhyiddin, tidak ada faedahnya cadangan draf baharu dikemukakan kerana pihaknya yakin layanan sama tetap akan diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang terutama PN.
“Itu sebabnya bagi kami tiada tujuan dan faedah untuk buat cadangan balas. Kita kaji dan bincang juga kenapa mereka mahu cadangkan perkara itu.
“Namun, dalam kalangan Ahli Parlimen kita, tak ada kata buat cadangan balas sebab mereka tahu cadangan baru ini apa pun mereka tak layan, tak beri peruntukan.
“Sudah dua tahun buat rundingan… berapa banyak dah perbincangan dibuat? Kamu tak perlu bincang kalau nak bagi… bagilah,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin mengingatkan kerajaan tindakan dibuat itu akan merugikan rakyat dan bukannya Ahli Parlimen pembangkang.
“Siapa yang rugi kalau bukan rakyat. Kawasan kami jaga tak ada peruntukan, kami nak tolong rakyat bukan duit masuk poket kami.
“Jadi keputusan sudah jelas kita tolak MoU atas banyak sebab kerana ada kaitan soal perlembagaan dan saya tidak perlu mengulas panjang lebar, ketua pembangkang juga sudah membuat kenyataan.
“Mana-mana pihak pun sudah memberi pandangan yang menyatakan bahawa satu perkara yang sewajarnya ditolak,” katanya.