MoU peruntukan ditolak, tiada rakyat yang terpinggir – Fadillah


Kerajaan Perpaduan tidak berhasrat untuk membincang lanjut termasuk meminda mengenai draf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan Ahli Parlimen pembangkang selepas ditolak pembangkang.

(Harian Metr0) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, biarpun ia tidak dipersetujui, Kerajaan Perpaduan tidak meminggirkan mana-mana pihak daripada menerima manfaat peruntukan atau projek pembangunan.

Katanya ia selari dengan konsep Kerajaan Madani yang mementingkan inklusiviti, ihsan dan kesaksamaan kepada semua pihak terutama rakyat.

“Peruntukan di bawah kerajaan masih tetap berjalan, cuma tugas wakil rakyat hanya mencadangkan projek dan apa jenis bantuan yang perlu diberikan.

“Tiada satu tempat pun dikecualikan, semua mendapat manfaat, sama ada MoU atau tidak, kerajaan tetap tidak meminggirkan mana-mana pihak, tidak kira kerajaan atau pembangkang.

“Sebab Kerajaan Madani ini konsepnya inklusiviti, ihsan, kita kena kesaksamaan, itu konsep Madani. Jadi sama ada MoU atau tidak, program dan projek tetap berjalan serta rakyat tetap dapat manfaat,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024, di Sungai Tebrau, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata pihaknya menghormati keputusan yang diambil pembangkang mengenai draf MoU itu.

“Itulah kedudukannya, apa pun tak perlulah kita nak ulas lagi. Bukan kata tidak ada persefahaman, kita sudah beri (draf MoU), kalau mereka dah tolak, kita nak buat apa lagi.

“Apa nak kaji lagi, orang sudah tolak. Kalau kita dah pinang, tiba-tiba kena tolak, takkan nak pinang lagi, malu saya,” katanya berseloroh.

Semalam, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, pintu rundingan mengenai MoU untuk peruntukan Ahli Parlimen pembangkang masih terbuka, dan kerajaan sedia untuk berbincang lebih lanjut mengenainya.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, menjelaskan bahawa draf MoU itu berfungsi sebagai platform perbincangan dan bukan sebagai dokumen muktamad.



Comments
Loading...