`Azmin mungkin ada tanggungjawab lebih besar di Selangor’
Keputusan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak bertanding sebarang jawatan tertinggi BERSATU kali ini kemungkinan kerana beliau mempunyai tanggungjawab lebih besar di Selangor.
(BH) – Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata pihaknya melihat keutamaan politik beliau adalah untuk memastikan Perikatan Nasional (PN) merampas Selangor pada pilihan raya akan datang.
“Mohamed Azmin mahu fokus kepada mendapatkan semula Selangor. Jadi dengan tidak bertanding di peringkat tertinggi, beliau boleh memainkan peranan lebih bebas dan strategik yang menguntungkan beliau.
“Ia mungkin menjadi antara beberapa sebab Mohamed Azmin mengelak bertanding dan dikhabarkan menolak jawatan Setiausaha Agung BERSATU,” katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, Azmin yang juga Ketua BERSATU Selangor mengesahkan tidak bertanding sebarang jawatan tertinggi dalam pemilihan parti itu dan sebaliknya memilih untuk hanya mempertahankan Ketua Bahagian Gombak.
Pada masa sama, Kartini berkata, keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang itu ‘berehat’ itu juga antaranya didorong oleh dinamika percaturan dalam BERSATU yang mungkin dilihat tidak menguntungkan beliau.
Selain itu katanya, jika beliau mengambil tanggungjawab sebagai Setiausaha Agung BERSATU, ia memberi komitmen besar buat bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, sekali gus membataskan ruangnya untuk menyusun strategi.
“Dari segi strategi beban tugas, jika bertindak sebagai Setiausaha Agung parti, pastinya komitmen besar dari segi pentadbiran dan ini membataskan ruang pergerakan beliau untuk menyusun strategi lebih bebas untuk menawan Selangor,” katanya.
Mohamed Azmin ketika ini adalah juga Ketua Penerangan PN dan Pengerusi PN Selangor.
Pemilihan BERSATU bermula dengan proses pencalonan di peringkat bahagian di seluruh negara bermula semalam manakala proses pencalonan peringkat pusat bagi jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), pimpinan tiga sayap parti iaitu Srikandi, ARMADA, Srikandi Muda dan Bersekutu Pusat bermula Sabtu lalu.
Tarikh persidangan bagi peringkat Bahagian parti adalah pada 12 hingga 26 Oktober manakala Perhimpunan Agung Tahunan pada 30 November hingga 1 Disember.