Kemiskinan mutlak meningkat dalam tempoh 2019-2022, COVID-19 rencat semua pencapaian terdahulu – KRI
Kemiskinan mutlak meningkat dalam tempoh 2019 hingga 2022 terutama dalam kalangan isi rumah bandar.
(BH) – Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dalam laporan ‘Keadaan Isi Rumah 2024: Isi Rumah dan Pandemik 2019-2022’, mendapati kemiskinan mutlak menokok kepada 4.5 peratus menjelang 2022 berbanding hanya 3.8 peratus pada 2019.
Menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini, pandemik COVID-19 telah merencatkan semua pencapaian terdahulu yang dibuat bagi mengurangkan kemiskinan.
“Pandemik secara tidak seimbang menjejaskan pendapatan isi rumah berpendapatan rendah,” menurut KRI.
Menurut laporan berkenaan, Kuala Lumpur menjadi kawasan dengan peningkatan isi rumah tertinggi iaitu 6,774 isi rumah, diikuti Kuala Muda (5,229) dan Kota Kinabalu (5,117).
KRI melaporkan, isi rumah berpendapatan RM3,000, RM5,000, RM11,000 dan ke atas, masing-masing tumbuh 2 peratus, 5.1 peratus serta 6.6 peratus pada 2022, manakala mereka dalam kategori berpendapatan rendah turun serendah 40.9 peratus.
“Kawasan dengan isi rumah yang agak tinggi dalam kemiskinan mutlak mempunyai akses yang lebih rendah kepada kemudahan asas, menunjukkan kaitan yang rapat di antara miskin kewangan dan bukan kewangan,” katanya.
Oleh itu, laporan berkenaan mencadangkan sasaran dan dasar pembangunan ekonomi yang inklusif bagi mengurangkan jurang setempat, meningkatkan akses kepada kemudahan asas serta menyokong pertumbuhan pendapatan.
Selain itu, pengeluaran dana daripada Pertubuhan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkaitan COVID-19 telah meluaskan jurang pendapatan secara mendadak, menjejaskan pencarum berpendapatan rendah secara tidak seimbang.
Individu berpendapatan rendah mengeluarkan hampir semua simpanan (sehingga 98 peratus dalam kumpulan umur 30 dan ke bawah serta kumpulan umur 30-54), berbanding kadar jauh lebih rendah dalam kumpulan berpendapatan lebih tinggi.
Menurut KRI, secara nasional, perbelanjaan isi rumah sebagai peratusan pendapatan terus meningkat, dengan isi rumah bandar menyaksikan pertumbuhan lebih tinggi (5.6 peratus) berbanding luar bandar (3.6 peratus) dari 2014 hingga 2022.
Laporan itu menyebut, secara amnya, isi rumah memperuntukkan bahagian terbesar perbelanjaan bulanan kepada tiga keperluan asas.
Tiga keperluan itu adalah perumahan dan utiliti (23.2 peratus), makanan di rumah (16.3 peratus), makan di luar (15.3 peratus) dan pengangkutan (11.3 peratus).
“Makan di luar dengan pantas menggantikan makanan di rumah, dengan isi rumah Malaysia membelanjakan hampir separuh atau 48 peratus daripada perbelanjaan makanan mereka untuk makanan di luar rumah selepas wabak,” katanya.
Penyelidikan KRI juga mendapati bahawa akses serta penggunaan digital telah melonjak semasa wabak, tetapi kekal seimbang selepas pandemik, terutamanya dalam perbankan internet dan kesihatan digital.
“Penggunaan internet untuk mendapatkan maklumat kesihatan dan membuat temu janji kesihatan dalam talian menurun selepas 2021, lebih ketara pada mereka yang berumur 60 tahun ke atas.
“Lonjakan yang didorong oleh pandemik dalam penggunaan kesihatan digital ini menyerlahkan potensi manfaat pendigitalan penjagaan kesihatan dan juga cabaran kepada pelaksanaannya,” menurut laporan itu.
Proses pendigitalan penjagaan kesihatan selama sedekad telah menghadapi cabaran dalam menaik taraf infrastruktur warisan dan melaksanakan penyepaduan data merentasi sektor awam dan swasta.
“Dalam menangani halangan ini, negara telah beralih kepada pendekatan yang lebih ringan, mudah alih dan berasaskan awan. Sistem kesihatan digital kalis masa depan di seluruh negara perlu inklusif, berpusatkan pesakit serta ditadbir dengan baik.
“Peraturan data khusus dalam data kesihatan termasuk peningkatan pelaburan dalam pendigitalan asas penjagaan kesihatan adalah penting dalam mencapai matlamat ini,” menurut laporan itu lagi.