Siasatan SPRM tumpu mutu jalur lebar 1BestariNet
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion akan bertumpu terhadap mutu pembekalan jalur lebar kepada 8,000 sekolah di seluruh negara.
(Harian Metro) – Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai penyiasat perlu melihat pembekalan data atau jalur lebar yang sepatutnya diberikan kepada semua sekolah berkenaan sama ada dibekalkan atau tidak.
Katanya, ini kerana kesemua sekolah terbabit sepatutnya diberikan kelajuan jalur lebar tertentu memandangkan tuntutan sudah dibuat oleh YTL Communications Sdn Bhd (YTL) secara berterusan sejak kontrak bermula pada 2011.
“Ini semua kita (SPRM) kena kaji betul atau tidak ia dibekalkan selain kita (SPRM) perlu melihat pembekalan itu dibuat atau tidak.
“Kalau ada tuntutan yang dibuat perlu dipastikan betul atau tidak dan ini menjadi tanggungjawab pegawai penyiasat untuk sahkan kebenaran,” katanya pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Anti Rasuah Peringkat Kebangsaan Kali ke-3, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Azam berkata, siasatan yang dibuat SPRM terhadap isu itu akan dilakukan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan rasuah.
Menurutnya, jika hasil dapatan mendapati ada tuntutan dibuat tetapi jalur lebar berkenaan tidak dibekalkan, perkara itu adalah satu kesalahan.
“Banyak perkara yang kita perlu siasat dan pegawai saya sedang melihat perkara ini. Semua isu yang dibangkitkan semua pihak menjadi tumpuan kita (SPRM) siasat dan ia memerlukan masa lebih panjang.
“Banyak tempat perlu kita lawati kerana kes ini membabitkan 8,000 sekolah, jadi bayangkan kes ini akan mengambil masa sedikit,” katanya.
Pada 4 September lalu, SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet.
Siasatan itu dilakukan selepas SPRM menggeledah pejabat kerajaan dan pejabat YTL di ibu negara.
Hasil penggeledahan itu, sejumlah dokumen disita dan SPRM sedang mengkaji bagi mengenal pasti saksi yang akan dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan.
Siasatan kes itu menjurus kepada dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu membabitkan pembayaran kira-kira RM2.7 bilion.
Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2019 disaran menjalankan satu penilaian holistik terhadap keberkesanan projek perkhidmatan 1BestariNet Fasa 2 berikutan pelaksanaannya sebelum ini disifatkan tidak menyeluruh.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, secara keseluruhannya 1BestariNet menyediakan kemudahan jalur lebar dan persekitaran Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) melalui Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya/Virtual Learning Environment (VLE) kepada semua sekolah di bawah KPM.
Audit dijalankan pada Oktober 2018 hingga Mac 2019 itu menyatakan bahawa 3,698 daripada 10,185 sekolah tidak pernah mencapai KPI penggunaan Frog VLE pada 2018, manakala hanya 0.8 peratus daripada 423,566 guru sudah membangunkan laman pembelajaran dan diterbitkan dalam Frog Store pada 2018.