Kain rentang provokatif cemari proses PRK Mahkota – Ahmad Maslan
Jentera Perpaduan mendakwa 18 pusat daerah mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dicemari kain rentang berunsur provokatif yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab.
(SuaraTV) – Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) BN DUN Mahkota, Datuk Seri Ahmad Maslan mendakwa ada beberapa jenis tulisan berbahasa Melayu dan Mandarin pada kain rentang berkenaan dikatakan usaha melaga-lagakan kepimpinan Umno Bahagian Kluang, memburukkan Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Perpaduan
Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Umno Johor memberitahu, kain-kain rentang provokasi itu dikesan pada jam 3 pagi pada Sabtu.
“Kain rentang tersebut memaparkan gambar calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah bersama Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan ucapan tahniah menang Mahkota bakal jadi Ketua Umno Bahagian Kluang.
“Ini jelas cubaan melaga-lagakan pimpinan Umno Bahagian Kluang yang dipimpin Datuk Jais Sarday. Sedangkan Umno tidak akan mengadakan pemilihan parti sehingga selesai PRU-16.Kita dah turunkan kain-kain rentang berkenaan,” katanya ketika sidang media di Pusat Operasi Perpaduan PRK Mahkota pada Sabtu.
Timbalan Menteri Kerja Raya itu mendakwa, tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan disifatkan sebagai langkah terdesak dan membuktikan pihak berkenaan bankrap isu dan ketandusan idea.
“Kami harap pengundi tak akan terpengaruh. Kain-kain rentang berkenaan juga tidak tulis siapa pencetak dan pengeluar.
“Kita amat kesal, jelas mereka bankrap isu dan tandus idea. Saya kira mereka dah bincang dua, tiga hari lepas mungkin sebab rasa mereka tak boleh menang. Ini kaedah terdesak yang tak wajar dilakukan,” dakwa ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu lagi.
Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Baghrib Ali yang juga pengundi DUN Mahkota, mendakwa dia menerima panggilan telefon dari Pahang mengandungi unsur hasutan.
Di mana selain memintanya untuk keluar mengundi pemanggil itu kemudiannya merayunya mengundi calon Perikatan Nasional (PN) kerana mendakwa jika mengundi BN ia akan dikuasai Cina.