Tiada ahli PAS Kelantan terbabit GISBH, Al-Arqam – Timbalan MB


Tiada ahli PAS Kelantan terbabit dengan GISB Holdings (GISBH) atau Al-Arqam, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

(BH) – Mohamed Fadzli yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata PAS dan Al-Arqam merupakan dua entiti berbeza.

“Ya, saya mengesahkan tiada ahli PAS yang terlibat dengan kedua-dua kumpulan,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V yang ke-55 di Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Mohamed Fadzli berkata, kerajaan menyerahkan semua perkara berkaitan GISBH kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan perlu diambil jika terbukti ia melanggar peraturan daripada sudut agama.

“Buat masa ini, kita serah kepada polis, MAIK (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan) dan JHEAIK (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan),” katanya.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang ditemui pada istiadat itu berkata tiada keperluan untuk mewujudkan fatwa baharu berkaitan GISBH kecuali terdapat elemen lain yang ditemui pihak berkuasa.

Beliau berkata, fatwa mengenai ajaran sesat digunakan semasa mengisytiharkan Al-Arqam sebagai sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994 masih lagi relevan untuk diguna pakai jika terbukti perkara yang sama berlaku dalam GISBH.

PDRM melancarkan Op Global pada 11 September lalu dengan menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH susulan dakwaan penglibatan dalam aktiviti eksploitasi kanak-kanak dan penyalahgunaan agama.

Sejak Op Global bermula, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan dan 572 mangsa berjaya diselamatkan.



Comments
Loading...