Larian promosi LGBT: Johor tak kompromi acara cetus isu, gugat kedaulatan Islam – MB


Program larian didakwa disertai pelancong asing berpakaian kurang sopan dan mempromosi budaya songsang lesbian, gay, biseksual serta transgender (LGBT) bukan anjuran kerajaan negeri.

(BH) – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, pihaknya juga tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran kepada mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di negeri ini.

Onn Hafiz berkata, setelah berhubung dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penganjur, objektif penganjuran acara berkenaan bukanlah seperti dinyatakan dan kejadian berlaku itu di luar kawalan pihak penganjur.

“(Bagaimanapun) kerajaan negeri memandang serius isu ini dan sudah meminta siasatan lanjut dijalankan pihak PDRM,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya malam ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi mana-mana pihak yang menganjurkan acara mencetuskan isu yang menggugat keharmonian dan kedaulatan Islam serta menjatuhkan imej Johor secara keseluruhan.

“Pada masa sama, kita berharap isu ini tidak dipanjangkan sehingga menjejaskan dan mengancam keharmonian negeri serta kesucian agama Islam, ” katanya.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri dilaporkan memohon pihak berkuasa menyiasat program itu dengan beliau difahamkan acara asalnya adalah Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 yang dianjurkan sebuah persatuan.

Bagaimanapun, beliau berkata menerusi foto yang tular didapati peserta program terbabit berpakaian tidak sopan, malah ada yang separuh bogel dan mempromosi LGBT.

Terdahulu, tular satu video berdurasi tujuh saat dan beberapa gambar menerusi laman sosial memaparkan mengenai acara larian itu termasuk persembahan tarian di sebuah hotel di Bandar Penawar, Kota Tinggi.



Comments
Loading...