Teo Nie Ching wanita pertama terajui DAP Johor
Dua pemimpin Wanita DAP Johor, Teo Nie Ching dan Wong Shu Qi, menempa sejarah apabila masing-masing dipilih sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi DAP Johor, dalam pemilihan parti itu hari ini.
(Harian Metro) – Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai dan Timbalan Menteri Komunikasi itu adalah wanita pertama dipilih menjadi Pengerusi DAP Johor.
Beliau dan Wong yang juga Ahli Parlimen Kluang, akan berganding bahu mengemudi DAP Johor, menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri ke-16, yang dijangka berlangsung dalam tempoh kurang dua tahun lagi.
Teo yang sebelum ini menjawat Timbalan Pengerusi DAP Johor, menggantikan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, yang sedekad memegang jawatan Pengerusi DAP Johor dan memutuskan untuk memberi laluan kepada timbalannya itu dalam pemilihan kali ini.
Selain Teo dan Wong, seorang lagi pemimpin wanita DAP, Gan Peck Cheng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram dan bekas Timbalan Speaker DUN Johor pula dipilih sebagai Naib Pengerusi DAP Johor, bersama ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali.
Teo, Wong dan Gan masing-masing menerima undian ketiga, kelapan dan kesembilan tertinggi dalam pemilihan ke Jawatankuasa DAP Negeri Johor.
Hari ini, Liew yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri dan Adun Perling, dilaporkan mengumumkan beliau mahu berundur daripada jawatannya sebagai Pengerusi DAP Johor untuk memberi ruang kepada Teo, menggantikannya.
Liew dilaporkan berkata keputusan berkenaan dibuat selepas beliau menerajui DAP Johor selama 10 tahun dan telah berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN).
Dalam pada itu, Teo berkata, pemilihannya sebagai Pengerusi DAP Johor adalah penghormatan dan tanggungjawab yang besar.
Katanya, sebagai pengerusi wanita pertama DAP Johor, beliau terhutang budi dan berterima kasih dengan Chin Tong yang telah mengabdikan satu dekad kariernya untuk mengukuhkan dan memimpin DAP Johor.
“Sebagai Ketua Wanita DAP, saya juga berbangga untuk menyatakan daripada 20 anggota Jawatankuasa DAP Johor, seramai sembilan daripadanya adalah wanita, mewakili 45 peratus daripada jawatankuasa negeri.
“Ini adalah representasi wanita yang tertinggi antara semua Jawatankuasa Negeri DAP di seluruh negara.
“Wanita bukan sekadar wakil simbolik tetapi perlu diberi tanggungjawab penting untuk memimpin. Ini adalah bukti jelas pemerkasaan gender dan menjadi bukti komitmen DAP Johor terhadap kesetaraan gender dan pemerkasaan wanita dalam kepimpinan.
“Kami akan terus memperjuangkan nilai-nilai ini dan berusaha untuk representasi dan inklusiviti yang lebih besar di masa hadapan,” katanya.