UMNO setuju gerak kerja parti Kerajaan Perpaduan diperkukuh


UMNO bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dan gerak kerja dalam kalangan parti-parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan.

(BH) – Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia sebagai satu manifestasi keseriusan dan komitmen parti itu bagi memastikan kelangsungan kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Katanya, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor, memberi isyarat jelas rakyat menerima baik model kerjasama Kerajaan Perpaduan.

“Yang berteraskan prinsip kesederhanaan, toleransi, tidak ekstrem dalam memainkan sentimen agama mahupun bangsa yang boleh memudaratkan keharmonian rakyat berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan media selepas berakhir mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini.

Mesyuarat dipengerusikan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut dihadiri Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, mesyuarat juga menzahirkan penghargaan kepada pengundi di DUN Mahkota atas kepercayaan diberi kepada BN untuk memenangi kerusi itu dengan majoriti amat besar.

“UMNO merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera parti Kerajaan Perpaduan termasuk rakan-rakan parti komponen BN, Friends of BN dan Pakatan Harapan (PH) yang bekerja kuat sebagai satu pasukan hingga berjaya meyakinkan pengundi di DUN Mahkota,” katanya.

Katanya, mesyuarat juga menegaskan, kemenangan di PRK itu tidak harus menjadikan UMNO angkuh dan bongkak, sebaliknya memastikan mandat diberikan rakyat dilaksanakan sebaik mungkin dengan penuh tawaduk dan beramanah.

Pada PRK itu, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah menang menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan atau Coach Haizan dengan 7,347 undi.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, ahli UMNO di semua peringkat diminta untuk berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi membantu rakyat tanpa mengira ideologi parti mahupun kaum sebagaimana tradisi UMNO sejak dulu dalam menghadapi sebarang musibah bencana alam khususnya musim tengkujuh yang mendatang.

Kemaskini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 10.43 malam tadi merekodkan beberapa kawasan di enam negeri iaitu Kedah, Perak, Johor, Kedah, Sarawak, Melaka dan Selangor dinaiki air menyebabkan 1,553 mangsa daripada 416 keluarga dipindahkan ke 20 pusat pemindahan sementara (PPS).

 



Comments
Loading...