Dakwaan PM campur tangan siasatan SPRM, polis akan panggil Bloomberg
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata laporan dibuat SPRM susulan kenyataan bekas pemimpin Umno Isham Jalil di media sosial.
(FMT) – Polis akan memanggil wakil media antarabangsa, Bloomberg untuk siasatan terhadap dakwaan campur tangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa berkata laporan kes itu dibuat SPRM susulan kenyataan bekas pemimpin Umno Isham Jalil di media sosial.
“Setakat ini kita telah ambil keterangan dua orang iaitu pihak pengadu (SPRM) serta Isham.
“Beberapa individu juga akan dipanggil khususnya daripada Bloomberg dalam masa terdekat,” katanya menurut Sinar Harian di Kuala Lumpur.
Rusdi berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan Ketua Polis Putrajaya Aidi Sham Mohamed yang mengesahkan Isham telah diambil keterangan berkaitan hantaran di media sosialnya yang mencadangkan Anwar menyaman Bloomberg.
Bloomberg dalam satu laporan memetik sumber mendakwa Anwar mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Dr Mahathir Mohamad, anak-anaknya, dan rakan rapatnya Daim Zainuddin.
Anwar juga didakwa mengarahkan SPRM tidak menyiasat pembelian saham oleh bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan SPRM.