Pendedahan arahan lewat malam Anwar supaya biarkan Zahid menang cetus tanda tanya


(MN) : Pendedahan mengejutkan oleh setiausaha politik Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa beliau diarahkan presiden PKR itu untuk tidak mencabar kemenangan tipis lawannya, Ahmad Zahid Hamidi, sekali lagi mengembalikan kontroversi di sebalik pembentukan kerajaan beberapa hari selepas pilihan raya umum yang lalu.

Ditemubual sebuah podcast pro-kerajaan baru-baru ini, Shamsul Iskandar Md Akin berkata beliau merasakan sesuatu yang pelik apabila pengiraan kertas undi di Bagan Datuk masih belum muktamad sehingga lewat malam, walaupun jelas beliau bakal menewaskan Zahid di kubu kuat presiden Umno itu.

“Saya dapat panggilan telefon Anwar pada 2.30 pagi,” katanya ketika ditanya kemenangan tipisnya sebanyak 348 majoriti di Bagan Datuk.

Itu yang menarik sebab di Bagan Datuk ini 60 ribu sahaja undi. Tempat-tempat lain dah umum dah… di Bagan Datuk, tak umum-umum lagi.”

Menurut Shamsul, beliau mahu pengiraan semula kertas undi, yang lazimnya diminta oleh calon sekiranya terdapat perbezaan undi tipis.

Shamsul berkata beliau ketika itu bersemangan untuk meneruskan perjuangan.

“Ketika itu, saya cakap, kita mesti lawan. Kita kena pastikan kita kira betul-betul. Undi rosak pun dekat 800. Macam mana pulak, saya kalah 348 (majoriti). Kita mahu terus lawan.”

Bagaimanapun, Shamsul berkata Anwar tidak mengambil pendirian yang sama.

“Dia (Anwar) telefon, dia kata, ‘Okay saya kagum dengan anda punya kerja kuat di Bagan Datuk dan sebagainya. Tapi Sam, kita nak tubuh kerajaan. Zahid telah pun keluar surat tandatangan untuk menubuhkan kerajaan’,” kata Shamsul dalam podcast “Apa Cerita”.

Kemenangan tipis Zahid di Bagan Datuk memberikan BN 30 kerusi dalam prestasi pilihan raya paling teruk gabungan itu sejak ditumbangkan pada 2018.

Shamsul berkata dengan 82 kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH), gandingan dengan BN boleh memberikannya majoriti mudah 112 untuk membentuk kerajaan.

Beberapa hari selepas itu, Perikatan Nasional (PN) tampil dengan sokongan 115 kerusi, di mana pengerusinya Muhyiddin Yassin mendapat kepercayaan menerusi akuan bersumpah yang dihantar kepada Istana Negara.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, melantik Anwar sebagai PM selepas Zahid membawa 30 kerusi BN untuk menyokong pengerusi PH itu, di samping kerusi GPS dan beberapa parti lain.

Shamsul berkata beliau ketika itu meragui dakwaan Anwar bahawa PH bakal mendapat sokongan menerusi sokongan dibawa Zahid.

“Saya tak mahu jadi macam dululah. Tak nak kena ‘game’. Macam-macam orang kata kat dia (Anwar), PM-tepilah dah sebagainya. Kali ni kita nak buat betul-betul.

“Dan dia kata, ‘Ya Sam kita akan bentuk kerajaan’.”

Shamsul berkata beliau akur dengan arahan Anwar untuk mengaku kalah di Bagan Datuk kerana mementingkan parti.

“Macam saya sebutkan tadi, dalam peperangan tak boleh ada dua general. Arahan general, ikut.

“Mestilah sedih. Kita dah kerja kuat dan beri segala-galanya. Kita mahu meraih kemenangan peribadi kita, betul tak?” tambahnya.

Pendedahan Shamsul itu mengesahkan pelbagai laporan mengenai pakatan sulit antara Anwar dan Zahid.

Sumber : Malaysianow



Comments
Loading...