Dakwaan campur tangan: PM serah kepada PDRM, Peguam Negara ambil tindakan


Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan termasuk memanggil wakil Bloomberg, berhubung dakwaan agensi berita antarabangsa itu mengenai campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

(BH) – Anwar berkata susulan itu, beliau menyerahkan kepada PDRM untuk menjalankan siasatan secara adil dan pihak Peguam Negara untuk mengambil tindakan perundangan yang bersesuaian.

“Saya serahkan kepada PDRM untuk menyiasat, selain Peguam Negara perlu mengambil tindakan bersesuaian,” tegasnya.

Penegasan Perdana Menteri itu dibuat sekiranya Bloomberg secara jelas membuat laporan berunsur fitnah mengaitkan beliau dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, baru-baru ini.

Beliau memaklumkan, PDRM setakat ini, sudah membuat beberapa tindakan, termasuk memanggil wakil Bloomberg dan individu berkaitan untuk merakam percakapan, masing-masing pada 1, 8 dan 11 Oktober lalu.

“Oleh kerana, ia di bawah siasatan PDRM, saya serahkan kepada PDRM untuk menyiasat dan Peguam Negara untuk mengambil tindakan bersesuaian.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri juga sudah membuat kenyataan tegas menafikan tohmahan terbabit kerana apa yang berlaku hanya arahan umum, termasuk kenyataan saya di Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai tindakan perundangan ke atas Bloomberg berhubung dakwaan campur tangan Anwar dalam siasatan SPRM di Dewan Rakyat, hari ini.

Bloomberg sebelum ini, melaporkan Anwar meminta SPRM tidak menyiasat Farhash berhubung kes pembelian saham bernilai jutaan ringgit.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, Rabu lalu, dilaporkan berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) kanun sama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam pada itu, Anwar berkata, dakwaan terkini mengaitkan beliau dan Farhash itu adalah tohmahan kedua dilaporkan Bloomberg, selepas laporan pertama membabitkan Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong dalam soal izin pembinaan kasino baharu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, tohmahan pertama dibuat Bloomberg itu akhirnya menjadi fitnah keterlaluan dan tidak pernah dibangkitkan Jemaah Menteri mahupun Yang di-Pertuan Agong.

“Saya di Dewan Rakyat sebelum ini mahu SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, PDRM dan pihak berkuasa bertindak tegas memerangi rasuah, tanpa tolak ansur dan badan penguatkuasaan memerangi jenayah dengan tegas.

“Ini arahan yang diberikan, tetapi tidak membabitkan kes khusus kerana SPRM seperti Peguam Negara, perlu bertindak bebas dan telus ‘without fear or favour’.

“Apakah ada tindakan (lanjut), ia perlu tunggu laporan PDRM. Sekiranya ada kesalahan nyata, itu tugasan Peguam Negara untuk mendakwa,” katanya.

Mengenai kes dikaitkan dengan Farhash, Perdana Menteri berkata, siasatan perlu dilakukan jika terdapat laporan mengenai, selain menegaskan SPRM perlu bertindak mengikut siasatan.

Beliau juga percaya kes dibangkitkan Ahmad Fadhli itu membabitkan syarikat yang ada kaitan dengan Sultan, namun tidak memperincikan identiti baginda.

“Kelulusan kontrak dikaitkan pula, keputusan dibuat kerajaan terdahulu. Kerajaan Yang Berhormat, bukan kerajaan saya.

“Saya tak mahu panjangkan kerana ia membabitkan isu yang pada saya remeh kerana membabitkan individu dan kebetulan dia pernah menjadi staf saya, antara empat hingga lima tahun lalu. Maka ia dibangkitkan.

“Namun, saya ingin maklumkan, kelulusan kepada syarikat terbabit adalah semasa kerajaan terdahulu dan ketika itu, Farhash belum menjadi anggota syarikat terbabit. Saya ada rekod dan bukan soal politik, saya berikan jawapan sopan dan baik kepada Pasir Mas yang tanya soalan dengan baik.

“Kemudian syarikat terbabit sekarang dimiliki tuanku, sebahagian besar sahamnya dan tiada kaitan dengan Farhash. Kalau ada pun, dia menggunakan proses tender biasa. Kalau ada pelanggaran bawa (ke pengadilan),” katanya.

Perdana Menteri juga menegaskan tidak adil untuk terus mengaitkan beliau dalam kes terbabit, hanya kerana Farhash pernah menjadi kakitangannya sebelum ini.

“Saya bercakap di Parlimen ini, kalau ada kes, ia disiasat SPRM dan tidak langsung menutupnya, cuma saya tanya kes apa sekarang ini?.

“Cuma dia kata ada kes… tetapi kalau dirujuk satu kes yang saya tahu, saya cek fail, memang betul diluluskan pada 2022, sebelum saya menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Namun, untuk terus mengaitkan (dengan saya) kerana dia pernah menjadi staf saya, ia kurang adil. Saya rasa jawapan ini jelas.

“Bagaimanapun, andai kata ada maklumat jelas membabitkan sesiapa pun, termasuk Farhash dalam apa-apa kes, sila lapor dan saya pastikan SPRM tidak akan menutupnya. Ini saya mahu jelaskan supaya tiada permasalahan di kemudian hari,” katanya.

Mengulas pendirian kekal menjalin hubungan dengan Bloomberg, Perdana Menteri berkata, sikap profesional dan menghormati prinsip kebebasan media mendorong tindakan sedemikian.

“Soal mengapa saya masih ada hubungan dengan Bloomberg kerana ia adalah media antarabangsa terkenal. Malah, ketika kerajaan Qatar mengadakan program dan lawatan rasmi saya ke Qatar, baru-baru ini.

“Mereka anjur supaya saya hadir sebagai pengucaptama dalam persidangan dianjurkan Bloomberg. Kita membezakan, kerana kita menghormati prinsip media bebas. Kalau ada fitnah, kita saman atau polis ambil tindakan khusus mengenai perkara berkenaan.

“Namun, ia bukanlah (alasan untuk) harus mengharamkan atau membatalkan semua acara dengan Bloomberg. Bagi saya, prinsip itu harus terpakai bagi semua,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.



Comments
Loading...