Dr. Mahathir dimasukkan ke IJN petang semalam, perbicaraan tangguh


Perbicaraan saman fitnah isu ‘kutty’ oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ditangguhkan pagi ini  selepas Mahkamah Tinggi di sini dimaklumkan bekas perdana menteri itu tidak sihat sejak petang semalam.

(MalaysiaGazette) – Difahamkan, Dr. Mahathir yang sudah berusia 99 tahun telah dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas dilaporkan tidak sihat kerana mengalami masalah pernafasan serta batuk akibat jangkitan paru-paru sejak beberapa hari lepas.

Sebentar tadi, peguam mewakili beliau, Mior Nor Haidir Suhaimi memaklumkan perkara itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong,

“Beliau masuk IJN petang semalam dan telah diberikan cuti sakit sehingga minggu depan, 25 Oktober. Beliau boleh hadir prosiding pada 29 dan 30 Oktober nanti.

“Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijangka beri keterangan pada hari itu,” katanya.

Hakim telah menetapkan 29, 30 Oktober sebelum sambung pada 5 dan 6 Disember serta 9 Disember depan untuk sambung perbicaraan kes tersebut.

Isnin lepas, Gan beberapa kali bertanya kepada Dr. Mahathir yang sedang disoal balas oleh peguam Ahmad Zahid sama ada beliau sihat untuk memberikan keterangan.

Gan turut mencadangkan untuk sesi rehat namun Dr. Mahathir mahu meneruskan soal balas yang tamat sekitar jam 3.30 petang itu.

Ketika ini, Dr Mahathir sedang menyaman Ahmad Zahid kerana mendakwa Timbalan Perdana Menteri itu telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Kenyataan itu menurut Dr. Mahathir, telah memberi maksud beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’.

Dakwa Dr. Mahathir, Ahmad Zahid mendakwa beliau telah menggunakan orang Melayu semasa menjadi perdana menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.



Comments
Loading...