Sabah dan Sarawak seharusnya berhenti mencuba mendapatkan 35 peratus kerusi parlimen


Jika ada mana mana pihak yang mempunyai hak untuk mewarisi peratus kerusi Singapura selepas Singapura keluar dari Persekutuan, Semenanjung mempunyai tuntutan yang lebih kuat berbanding Sabah atau Sarawak.

Nehru Sathiamoorthy

Kita hanya akan mengadakan perbincangan sebelum kita mencapai persetujuan. Apabila persetujuan dicapai, perbincangan akan berakhir. Jika kamu dan saya mencapai persetujuan, tetapi selepas mencapai persetujuan kamu datang kepada saya dan memberitahu saya bahawa kamu ingin membincangkan lagi perkara yang telah kita persetujui, itu bermakna kita tidak pernah mencapai persetujuan. Kita hanya menipu diri sendiri dan masing masing dengan mempercayai yang kita mempunyai persetujuan, walhal kita sebenarnya tidak pernah pun mencapai persetujuan.

Sebelum ini, ramai di antara kita mungkin percaya bahawa permintaan Sabah dan Sarawak untuk diperuntukkan 35 peratus kerusi parlimen telah dipersetujui oleh kerajaan.

Kita mungkin percaya sebegitu, kerana ketika Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, beliau telah meperkenankan hasrat negeri-negeri di Borneo untuk diberikan 35 peratus kerusi parlimen dan apabila Anwar menggantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia, beliau juga tampak memberi tanggapan yang beliau mengiakan apa yang telah dipersetujui oleh Ismail Sabri.

Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Anwar, Fadillah Yusof, juga telah memperkasakan tanggapan ini, dengan sering membuat kenyataan tentang hak Sabah dan Sarawak untuk mendapat 35 peratus kerusi parlimen.

Tetapi, kenyataan Anwar baru baru ini, tentang keperluan untuk “perbincangan diantara pegawai-pegawai perundangan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak mengenai tuntutan Sabah dan Sarawak untuk diberikan satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat” menunjukkan bahawa tanggapan mungkin tidak mempunyai asas di realiti.

Sesetengah daripada kita mungkin berpendapat bahawa perbincangan yang akan diadakan oleh dengan Sabah dan Sarawak adalah berkaitan dengan teknikaliti pelaksanaan agenda 35 peratus, tetapi saya mempunyai pandangan yang berbeza.

Dalam pandangan saya, kenyataan Anwar bahawa pegawai-pegawai dari jabatan peguam negara persekutuan dan negeri akan memberi tumpuan kepada aspek undang-undang tuntutan ini  memberi gambaran bahawa perbincangan yang akan diadakan oleh Putrajaya dengan negeri-negeri Borneo ini mungkin tidak akan membincangkan teknikaliti pelaksanaan agenda 35 peratus, tetapi akan membincangkan perihal kesahihan persetujuan itu sendiri.

Anwar, kita jangan lupa, tidak pernah mengishtiarkan yang beliau akan memberikan Sabah dan Sarawak 35 peratus kerusi parlimen. Sabah dan Sarawak menganggap bahawa beliau akan memberikan mereka 35 peratus kerusi parlimen kerana beliau berjanji untuk menyelesaikan semua perkara tertunggak yang berkaitan dengan MA63 apabila beliau dinobatkan sebagai PM di Putrajaya, tetapi bertentangan dengan pendapat umum, agenda 35 peratus in sebenarnya bukanlah sebahagian daripada persetujuan MA63.

MA63 adalah satu dokumen yang mengagihkan 35 peratus kerusi parlimen kepada Singapura, Sabah dan Sarawak ketika Malaysia dibentuk pada tahun 1963, tetapi tiada apa apa pun yang tertulis dalam perjanjian ini yang menyatakan bahawa jika Singapura keluar dari Malaysia, peratus kerusi parlimen yang dipegang oleh Singapura mesti diserahkan kepada Sabah dan Sarawak agar mereka kekal memegang 35 peratus kerusi parlimen.

Tiada apa apa pun dalam perlembagaan atau perjanjian MA63 yang menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak berhak diperuntukkan 35 peratus kerusi parlimen buat selama-lamanya juga.

Terdapat segelintir masyarakat, khususnya di Sabah dan Sarawak, yang berpendapat bahawa terdapat satu kesefahaman tersirat di antara Sabah, Sarawak dan Singapura, untuk berkerjasama untuk membendung dominasi Semenanjung,  tetapi apabila kita melihat sejarah pembentukkan Malaysia, pendapat ini tidak mempunyai asas.

Dalam sejarah, Sabah, Sarawak dan Singapura tidak pernah pun menjadi sebuah pasukan, yang bersetuju untuk berkerjasama untuk membendung Semenanjung. Malah, Singapura – dari segi lokasi, komposisi masyarakat dan sejarah Bersama – sebenarnya lebih akrab dan intim dengan Semenanjung berbanding dengan Sabah atau Sarawak. Jika ada mana mana pihak yang mempunyai hak untuk mewarisi peratus kerusi Singapura selepas Singapura keluar dari Persekutuan, Semenanjung mempunyai tuntutan yang lebih kuat berbanding Sabah atau Sarawak.

Apabila Semenanjung dan Singapura berkelahi sehingga Singapura keluar dari persekutuan pada tahun 1965, Sabah dan Sarawak juga memilih untuk kekal bersama Semenanjung, dan bukannya keluar bersama Singapura. Dengan mengambil kira hal ini, pandangan bahawa apabila Singapura meninggalkan persekutuan, Sabah dan Sarawak mempunyai hak ke atas kerusi yang dimiliki Singapura, seolah-olah mereka adalah rakan seperjuangan yang menpunyai tanggungjawab untuk berkerjasama untuk membendung Semenanjung, adalah hanya pendapat peribadi Sabah dan Sarawak sahaja.

Sekiranya benar bahawa terdapat satu persetujuan untuk memberikan Sabah dan Sarawak 35 peratus kerusi parlimen untuk mempertahankan dirinya daripada dianiaya Semenanjung, takkan 3 atau 4 silih kepemimpinan dari Sabah dan Sarawak semenjak tahun 1963 tidak tahu menahu tentang perkara itu? Jikalau mereka tahu, kenapa mereka tidak pernah pun menuntut hak mereka selama lebih 60 puluh tahun, sehingga baru baru ini?

Pandangan pemimpin pemimpin Borneo bahawa Sabah dan Sarawak memerlukan 35 peratus kerusi di Dewan Rakyat untuk mencegah Semenanjung dari membatalkan peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga adalah sekadar pandangan yang tidak berasas.

Dalam tempoh masa lebih 60 tahun sejak perjanjian MA63 ditandatangani, Semenanjung tidak pernah pun melakukan apa-apa untuk melanggar peruntukan MA63. Untuk Sabah dan Sarawak berkata bahawa mereka hanya sekarang berasa bimbang dengan kemungkinan Semenanjung akan menghakis hak mereka, sedangkan mereka tidak pernah pun bimbang selama lebih 60 tahun, dan itupun pada ketika kekuatan politik Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan adalah di peringkat yang tertinggi pada hari ini, adalah sukar dipercayai.

Semenanjung bukanlah sebuah monolit. Ia terdiri daripada pelbagai kaum yang sering berkelahi sesama sendiri dan jarang bersatu dalam apa jua perkara pun. Untuk membayangkan bahawa populasi Semenanjung yang sering bertengkar akan bersatu untuk mengenepikan hak Sabah dan Sarawak, , hampir pastinya hanya sekadar ilusi semata-mata.

Daripada meragui niat Semenanjung, sebenarnya, Semenanjung yang perlu bimbang tentang niat Sabah dan Sarawak. Walaupun Sabah dan Sarawak hanya mempunyai 17 peratus daripada populasi dalam persekutuan, ia memegang 25 peratus kerusi parlimen. Ini bermakna bahawa 1.6 undi daripada pengundi Semenanjung diperlukan untuk bersamaan dengan 1 undi dari pengundi Sabah dan Sarawak. Jika permintaan Sabah dan Sarawak untuk 35 peratus kerusi parlimen dipenuhi, satu undi daripada seorang penduduk Sabah dan Sarawak hampir setara dengan 3 undi daripada pengundi Semenanjung. Dengan kuasa sebegini, kurang daripada satu perlima populasi persekutuan di Borneo akan  memperolehi kuasa untuk mendominasi empat perlima populasi yang tinggal di Semenanjung.

Daripada mempercayai keterangan parti parti politik negeri-negeri Borneo, yang menyatakan bahawa mereka hanya mahukan 35 peratus kerusi di parlimen kerana mereka “takut” atau “bimbang” dengan niat Semenanjung, saya rasa lebih munasabah sekiranya kita melihat hasrat Sabah dan Sarawak untuk menuntut 35 peratus kerusi parlimen ini adalah sekadar untuk memenuhi keinginan mereka sahaja.

Perkara-perkara seperti kuasa, darjat, kedudukan dan kekayaan adalah perkara yang semua orang mahukan tanpa sebab lain selain daripada kerana mereka mahukannya.

Kita tidak boleh menyalahkan Sabah dan Sarawak kerana menginginkan apa yang mereka inginkan – setiap orang di dunia ini pun mahukan kuasa – tetapi janganlah kita sebegitu naif hingga kita membenarkan Sabah dan Sarawak meyelubungi kita dengan rasa bersalah untuk meberikan kepada mereka apa yang mereka mahukan.

Jika Sabah dan Sarawak mahukan 35 peratus kerusi parlimen, mereka lah yang sepatutnya datang dan bertanding di pilihanraya di Semenanjung untuk mendapatkan apa yang mereka hendak,  bukan mengharapkan Semenanjung mengorbankan keinginannya untuk memenuhi keinginan Sabah dan Sarawak.

Walau apapun pandangan Sabah dan tentang Semenanjung , Semenanjung bukanlah merupakan sebuah wilayah yang berniat menganiaya atau mengancam Sabah dan Sarawak.

Sarawak baru sahaja diisytiharkan sebagai negeri berpendapatan tinggi pada tahun lepas. Ia adalah satu-satunya negeri dalam persekutuan, selain daripada Pulau Pinang yang kecil, yang berjaya memperoleh status tersebut. Sekiranya Semenanjung menindas atau menganiaya negeri-negeri di Borneo, takkan lah Sarawak berjaya menjadi negeri berpendapatan tinggi sebelum negeri-negeri lain dalam persekutuan, kecuali Pulau Pinang?

Apabila para peguam Putrajaya dan peguam Sabah dan Sarawak bertemu untuk membincangkan agenda 35 peratus, di harap mereka akan membincangkan juga perkara perkara yang telah dibangkitkan dalam artikel ini.

 

 

 



Comments
Loading...