Hadapilah dengan tenang, Shamsul Iskandar cuma berterus-terang – Hassan Karim


PKR diseru menghormati ‘cerita’ Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin mengenai keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Bagan Datuk.

(Suara TV) – Hal ini meskipun, tindakan terus-terang Setiausaha Politik kanan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menimbulkan ‘masalah sampingan’.

Menyifatkan Shamsul Iskandar sebagai ahli politik berpengalaman, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata bekas naib presiden PKR itu hanya berterus-terang mengenai peristiwa dua tahun lalu.

“Hormatilah apa yang Shamsul ucapkan dengan semua pihak perlu bersedia menghadapi kesannya. Berani kerana benar.

“Kalau ucapannya menimbulkan masalah sampingan, maka tidak perlu panik, kata Ahli Parlimen PKR dua penggal itu.

Menurut Hassan, semua pihak terkait wajar menghadapinya dengan tenang, lapor FMT.

Beliau berkata demikian mengulas teguran Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh susulan cerita Shamsul dalam satu program audio siar baru-baru ini.

Shamsul Iskandar ketika diwawancara mendakwa, beliau tidak mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Bagan Datuk, yang menyaksikan beliau tewas kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan majoriti setipis 348 undi, supaya kerajaan dapat dibentuk melalui kerjasama dengan Umno.

Fuziah baru-baru ini berkata, adalah tidak wajar bagi sesiapa pun membawa naratif sendiri, memandangkan Kerajaan Perpaduan merupakan titah Yang di-Pertuan Agong pada masa itu.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said turut menegur Shamsul supaya menghormati proses demokrasi dan berjiwa besar menerima keputusan pilihan raya.

Hassan percaya perkembangan ini tidak mencacatkan kerjasama antara parti Kerajaan Perpaduan.

“Namun, jika PKR atau kepimpinan parti nak buat ‘damage control’, boleh tetapi jangan berbohong.

“Shamsul Iskandar bukan ahli politik baru atau amatur… dia berpengalaman luas dan kini orang kanan Anwar, katanya.

Beliau menambah semua pihak dalam kerajaan perpaduan mahu beransur daripada peristiwa lama, selepas dua tahun mentadbir bersama.

“Tempoh halal kerajaan ini pun tinggal dua tiga tahun saja lagi… semuanya sudah berlalu,” kata Hassan lagi.



Comments
Loading...