Usah polemik cikgu Cina, Tamil tak mahir BM, PAS diberitahu


“Banyak sekolah di Kelantan gagal mencapai gred purata nasional dalam bahasa Melayu walaupun bertutur dalam bahasa itu, sekali gus ketinggalan dari segi ekonomi”

(FMT) – Kumpulan pendidikan berkata PAS sepatutnya lebih fokus laksana usaha perkasa kebajikan sosial rakyat negeri ditadbirnya seperti membantu pelajar ketinggalan dalam pembelajaran.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) membidas cadangan pemimpin PAS mengenai kursus bahasa Melayu kepada guru Sekolah Jenis Kebangsaan susulan dakwaan mereka ‘tidak mampu’ berbahasa itu dengan baik.

Pengerusinya Noor Azimah Abdul Rahim berkata perkara tersebut sengaja dipolemikkan ahli politik yang konon ‘tersangat’ mahir dalam berbahasa Melayu.

“Isu bahasa dipolemikkan ahli politik yang mantap jaguh bahasa (Melayu) tapi rabun pelbagai bahasa (asing) di era globalisasi ini,” katanya kepada FMT

Beliau berkata, PAS sepatutnya lebih fokus melaksanakan usaha memperkasa kebajikan sosial rakyat negeri ditadbir parti itu khususnya membantu pelajar ketinggalan dalam pembelajaran.

“Banyak sekolah di Kelantan gagal mencapai gred purata nasional dalam bahasa Melayu walaupun bertutur dalam bahasa itu, sekali gus ketinggalan dari segi ekonomi,” katanya.

Sabtu lalu, Dewan Muslimat PAS (DMPM) menggesa kerajaan mengkaji semula cadangan memperbanyakkan lagi latihan bahasa Cina dan Tamil di institusi perguruan selain Bahasa Kebangsaan.

Naib Ketuanya, Salamiah Mohd Nor, yang juga Ahli Parlimen Temerloh mendakwa masih ramai guru Cina dan Tamil di SJK tidak mampu berbahasa Melayu dengan baik.

Sehubungan itu, beliau berpendapat mereka wajar diberi kursus bagi memahirkan penggunaan bahasa kebangsaan.

Pada 6 Okt, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju memperbanyak ruang tambahan bagi latihan bahasa Cina dan Tamil di institusi perguruan supaya lebih banyak guru dalam mata pelajaran itu dapat dilatih dan dihantar ke SJK.

Noor Azimah berkata, pemimpin PAS seharusnya memberi perhatian kepada peningkatan membimbangkan dalam kes jangkitan HIV atau tontonan pornografi di kawasan mereka berbanding ‘menyibuk’ perkara di luar tanggungjawab.

“Baru-baru ini dilaporkan terdapat 172 pangkalan haram dadah dikesan di sepanjang Sungai Golok membabitkan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli. Tak wujud bekalan jika tiada permintaan daripada rakyat negeri itu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon, berkata kemahiran bertutur bahasa Melayu bergantung kepada pergaulan harian serta persekitaran dan budaya penuturnya.

Katanya, lambakan guru juga bukan jaminan seseorang itu boleh bertutur dalam bahasa tersebut.

“Misalnya kaum Tionghoa di Kelantan tidak perlu guru bahasa negeri itu namun mereka fasih bertutur dan mengamalkan budaya orang Kelantan.

“Masyarakat Tionghoa di Parit Raja, Johor, boleh berbahasa Jawa bukan kerana ramai guru bahasa Jawa di sekolah tetapi mereka tinggal dalam kelompok yang menuturkan bahasa Jawa,” katanya.



Comments
Loading...