Parlimen: Pembangkang dipersoal tak pernah bentang belanjawan bayangan


Ahli Parlimen kerajaan mempersoalkan Perikatan Nasional (PN) yang tidak pernah membentangkan belanjawan bayangan seperti dilakukanPakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang sebagai saingan kepada belanjawan kerajaan.

(BH) – Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berkata belanjawan bayangan daripada pembangkang itu penting sebagai sebahagian langkah semak dan imbang kepada kerajaan melalui cadangan yang membantu pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Apabila PH dalam pembangkang, kami memainkan peranan semak dan imbang. Sejak 2010 hingga 2017, tanpa gagal, pembangkang membentangkan belanjawan bayangan

“Selepas tiga kali belanjawan Kerajaan Perpaduan dibentang, saya masih belum nampak pembentangan belanjawan bayangan daripada PN. Mengapa PN tidak bentang belanjawan bayangan?

“Kita tidak nampak belanjawan bayangan yang boleh melakarkan apa yang akan mereka laksanakan untuk mengatasi hutang negara dan melaksanakan program kebajikan rakyat serta untuk kebaikan negara,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Persoalan yang dibangkitkan Tze Tzin itu menarik perhatian Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) untuk mencelah dan mencadangkan gaji Ahli Parlimen PN dipotong kerana tidak memainkan peranan mereka.

Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) kemudian bangun membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (6) kerana Ahli Parlimen PH itu didakwa membuat sangkaan jahat kepada pembangkang dan menyatakan mereka sudah membangkitkan pelbagai isu mengenai belanjawan sebelum ini.

“Macam-macam kami cakap tapi kamu tak dengar. Jika kami tidak perjuang, siapa? Ini sangkaan buruk kepada kami,” katanya.

Tze Tzin berkata, beliau bukan mahu mengkritik, namun dalam demokrasi yang sihat, negara memerlukan Ahli Parlimen yang berkaliber dan membawa idea bernas.

“Pembangkang yang `senior’ haruslah membahas isu yang bernas, bukan memainkan perkataan seperti ‘kencing, tipu, sembang’, mempersoalkan sama ada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada gaji atau tidak, sedangkan itu kerja `cyber trooper’.

“Perlu ada persaingan sihat dari segi dasar. Jika boleh, adakan lebih banyak perbahasan yang bernas, bukan setakat di TikTok dan memainkan sentimen perkauman,” katanya.



Comments
Loading...