Najib sedar sejumlah wang besar akan dipindahkan ke akaun peribadinya


Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sedar sejumlah wang yang besar yang didakwa berasal daripada keluarga diraja Arab Saudi, akan dipindahkan ke dalam akaun bank peribadinya.

(BH) – Bekas Perdana Menteri itu ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin berkata, beliau kemudian memaklumkan kepada AmIslamic Bank mengenai transaksi itu lebih awal supaya kedua-dua bank termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dapat diberi amaran mengenainya.

“Saya mahu kedua-duanya (BNM dan AmIslamic Bank) memantau akaun saya untuk memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

“Sebagai pelanggan, saya tidak mempunyai akses kepada sumber dana,” katanya memberi keterangan dalam tuntutan sivil bernilai AS$1.18 billion yang difailkan SRC International terhadapnya dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.

Najib berkata, beliau ada memaklumkan kepada bekas Pengarah Urusan Kumpulan AmIslamic Bank, Cheah Tek Kuang, mengenai transaksi terbabit dan meminta untuk memberitahu BNM melalui bekas Gabenor, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

“Saya sudah memberi amaran kepada Tek Kuang dan meminta beliau menghantar surat memaklumkan kepada Zeti,” katanya.

Najib,71, merujuk surat yang didakwa daripada keluarga diraja Arab Saudi dan ditandatangani oleh Putera Abdulaziz Al-Saud, yang ditujukan kepadanya untuk memaklumkan mengenai sumbangan berkenaan.

Pasukan pembelaan Najib membentangkan surat itu dalam perbicaraan jenayahnya kerana penyalahgunaan dana 1MDB untuk menyokong dakwaan mereka bahawa jutaan ringgit dimasukkan dalam akaunnya adalah sumbangan daripada raja Saudi.

Pada 2022, Tek Kuang ketika memberi keterangan dalam perbicaraan jenayah 1MDB Najib mengakui, beliau memaklumkan kepada Zeti berhubung wang yang masuk ketika pertemuan rahsia di pejabatnya.

Namun Zeti, ketika memberi keterangan dalam perbicaraan sama, menafikan kenyataan Tek Kuang dengan mendakwa pertemuan itu bukan atas tujuan rasmi atau perniagaan.

Sementara itu, ditanya peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sama ada beliau tahu wang itu berasal dari sesuatu yang haram, Najib menjawab beliau tidak pernah mengesyaki apa-apa.

Pada Mei 2021, SRC International di bawah pengurusan baharu memfailkan saman apabila mendakwa Najib menyalahguna amanah dan kuasanya.

Syarikat itu juga mendakwa Najib menyalahgunakan dana syarikat dan mendapat manfaat daripada itu.

Ia juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya, termasuk Najib membayar semula RM42 juta kerana kerugian dialaminya.

Perbicaraan bersambung pada Selasa ini.



Comments
Loading...