‘Saya tak pernah campur tangan dalam siasatan 1MDB, SRC’ – Najib
Datuk Seri Najib Razak mengulangi kenyataan beliau tidak pernah mencampuri siasatan berhubung skandal kewangan global membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan bekas anak syarikatnya, SRC International Bhd.
(BH) – Bekas perdana menteri itu menyatakan kebimbangannya mengenai kedua-dua syarikat terbabit berada di bawah pengawasan pihak berkuasa, tetapi berkata adalah tidak wajar baginya untuk meminta maklumat terkini mengenai status siasatan.
Najib berkata demikian berikutan beliau juga sedang disiasat bagi isu yang sama ketika itu.
“Saya juga disiasat, saya tahu (perkara) itu kerana mereka datang ke pejabat saya untuk menyoal saya.
Apabila disiasat, saya boleh dituduh mengganggu siasatan, (itu) yang berada di belakang fikiran saya, jadi saya serahkan kepada siasatan.
“Jika (ketika siasatan) secara tidak sengaja atau sengaja mengatakan sesuatu, maka ia boleh menjadi jenayah,” katanya ketika memberi keterangan dalam tuntutan sivil AS$1.18 bilion yang difailkan oleh SRC International terhadapnya dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.
Pasukan petugas khas terdiri daripada pegawai Jabatan Peguam Negara (AGC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Bank Negara Malaysia (BNM) memulakan siasatan berhubung skandal kewangan itu pada Julai 2015.
Najib, 71, berkata jika pihaknya memfailkan satu lagi laporan polis akan menjadi berlebihan kerana skandal 1MDB dan SRC sudah menjadi tajuk utama negara pada 2015 dan siasatan sedang dijalankan.
SRC International, di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman itu pada Mei 2021, mendakwa Najib melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa.
Syarikat itu juga mendakwa, Najib menyeleweng dana syarikat dan mendapat manfaat daripadanya.
Ia juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab ke atas kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya, dan untuk Najib membayar balik kerugian RM42 juta yang dialaminya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung.