Wan Ahmad Fayhsal kekal tidak boleh masuk Dewan Rakyat selama digantung enam bulan – Johari


Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kekal dengan keputusannya tidak membenarkan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat Julai lalu, untuk berada di dalam dewan ketika persidangan berlangsung.

(BH) – Perkara itu diputuskan Johari selepas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan Peraturan Mesyuarat 44 (5) selepas tamat sesi soal jawab yang mempersoalkan larangan yang dibuat Johari pada 15 Oktober lalu.

 

ang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul. - Foto fail BERNAMA
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul. – Foto fail BERNAMA

“Ini keputusan saya. Sementara saya menjadi Yang Dipertua hari ini, mulai 15 Oktober 2024, mana-mana ahli yang diarah keluar atau diperintahkan mengikut Peraturan Mesyuarat, maksud keluar adalah dari Chamber (Dewan) ini.

“Beliau boleh ikuti dari luar tapi tidak boleh masuk dalam Chamber kerana ini akan menimbulkan banyak masalah.

“Jadi, saya buat keputusan tidak boleh (berada) dalam Chamber,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, dilaporkan Wan Ahmad Fayhsal berada di Galeri Awam mengikuti persidangan Dewan Rakyat.

Susulan itu, Johari dalam suratnya kepada Wan Ahmad Fayhsal tidak membenarkan Ahli Parlimen Machang itu berada di dalam Dewan Rakyat kerana sudah digantung selama enam bulan.

Dalam surat itu, dinyatakan Wan Ahmad Fayshal tidak dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat, termasuk Galeri Awam dan tempat pegawai bertugas, namun masih boleh berada di perkarangan kompleks Parlimen dan mengikuti siaran langsung yang dipapar

Rententan itu, pada Isnin lalu pembangkang mempersoalkan mengapa Wan Ahmad Fayhsal tidak dibenar untuk mengikuti persidangan meskipun dari Galeri Awam Dewan Rakyat.

Membangkitkan Peraturan Mesyuarat 44 (5), Takiyuddin berkata berdasarkan Peraturan Mesyuarat 44 (5), jika seseorang ahli digantung daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat, dia hendaklah keluar dan tidak ambil bahagian dalam mesyuarat sehingga tamat tempoh penggantungan.

“Beliau tidak duduk di tempat beliau (sebagai Ahli Parlimen), tetapi di Galeri Awam tempat orang kampung boleh datang dari ceruk mana sekalipun duduk sini.

“Tetapi Speaker kata Machang (Wan Ahmad Fayhsal) tidak boleh duduk, sedangkan itu menunjukkan beliau Ahli Parlimen yang prihatin dan komited, dan ada perkara berkaitan rakyat Parlimennya, boleh minta untuk dimasukkan dalam (perbahasan) Ahli Dewan,” katanya

Pada Julai lalu, Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 18 Julai lalu, susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Keputusan itu diumumkan Johari selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, dengan 110 Ahli Parlimen bersetuju dan 63 tidak bersetuju, selepas undi belah bahagi dijalankan, manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.



Comments
Loading...