Seleweng RM2.3b dana 1MDB: Mahkamah Tinggi arah Najib bela diri untuk 25 pertuduhan
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah diarahkan untuk membela diri terhadap empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta 21 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion.
(Astro Awani) – Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dalam alasan penghakimannya berkata, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib.
Mengikut kertas pertuduhan, Najib, 71, yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional, didakwa melakukan kesalahan itu ketika menjawat jawatan selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Ketika ditanya tentang pilihan beliau untuk membela diri, Najib menjawab beliau mahu memberikan keterangan secara bersumpah di kandang.
Collin kemudiannya menetapkan tarikh 2 Disember depan sebagai prosiding untuk bela diri.
Terdahulu media melaporkan, Najib, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 14 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Bekas Presiden UMNO itu berhadapan dengan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda sama ada lima kali ganda nilai terbabit atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Najib didakwa atas 16 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore semula berjumlah RM2,196,786,711.87.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, No 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 22 Mac 2013 sehingga 10 April 2013.
Bagi lima pertuduhan lagi, Najib didakwa menggunakan hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM20,000,000 untuk dibayar kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
Selain itu RM100,000 dibayar kepada UMNO Bahagian Batu Kawan, RM246,000 kepada Lim Soon Peng, RM2,000,000 kepada ORB Solutions Sdn Bhd, dan RM303,000 kepada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd.
Dalam prosiding hari ini, Najib diwakili barisan peguam bela diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersama-sama Tania Scivetti dan Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.
Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar dan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib mengetuai pihak pendakwaan.
Dalam sidang media di perkarangan Kompleks Mahkamah, Shafee berkata, sudah pasti beliau dan anak guamnya berasa amat kecewa dengan keputusan tersebut, bagaimanapun pasukan pembelaan akan menyediakan hujah untuk peringkat seterusnya.
Beliau berkata mendedahkan pihaknya akan memanggil sekurang-kurangnya 11 orang saksi.
Ketika ini Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun serta didenda RM50 juta selepas disabitkan bersalah atas masing-masing tiga pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram serta satu pertuduhan salah guna kedudukan, berhubung dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.
Hukuman dan denda berkenaan telah dikurangkan selepas susulan keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya dalam mesyuarat ke-61 pada 29 Januari lepas.
Awal hari ini media melaporkan sekitar 200 penyokong Najib telah mula berkumpul di hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejak 630 pagi lagi.
Turut kelihatan anak beliau Datuk Mohd Nizar, Datin Nooryana Najwa serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh.
Selain kes 1MDB dan SRC, Najib juga berdepan pertuduhan pengubahan wang haram tambahan melibatkan RM27 juta daripada SRC International dan kes berkenaan telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 19 Mei tahun depan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga dituduh bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dalam enam pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang melibatkan RM6.6 bilion dalam dana kerajaan berkaitan pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Kes ditetapkan untuk perbicaraan pada 14 November ini di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin.