Anwar selar kritikan hipokrit atas respons mohon maaf Najib
(FMT) : Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyelar pengkritik atas respons menerima baik permohonan maaf Najib Razak berhubung skandal 1MDB.
Beliau mempersoalkan tindakan sebahagian pengkritiknya tidak lantang bersuara apabila bercakap mengenai rasuah membabitkan individu lain.
“Saya rasa ia hipokrit sama sekali apabila anda, sebagai contoh, hanya meletakkan Najib sebagai satu-satunya isu (membabitkan rasuah),” katanya kepada FMT dalam temu bual di pejabatnya.
“Orang ini, kononnya pasukan antirasuah, mereka yang kononnya berfahaman liberal ini hanya mendiamkan diri apabila melibatkan rasuah besar bekas pemimpin (lain) yang mengumpul berbilion ringgit. Saya tak dengar satu pun kenyataan, kebimbangan diluahkan. Jika anda benar-benar mahu memerangi rasuah, anda perlu konsisten…bersikap tegas terhadap semua perasuah.”
Anwar mengakui permohonan maaf Najib ‘mungkin terhad’, tetapi mempertahankan penerimaannya terhadap kenyataan bekas perdana menteri itu.
“Saya fikir adalah baik mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan sesiapa yang kata ‘ya, saya minta maaf’, atas beberapa sebab,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Permohonan maaf Najib kepada rakyat Malaysia dibuat pada 24 Okt lalu. Menurutnya, beliau amat terluka mengetahui skandal 1MDB, melibatkan berbilion ringgit, berlaku semasa beliau menjadi perdana menteri dan menteri kewangan.
Najib kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah dalam kes SRC International Sdn Bhd. Tetapi, beliau bertegas dirinya tidak bersalah dan menafikan menjadi dalang atau bekerjasama dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.
Anwar dalam respons berkata, beliau ‘terima baik’ permohonan maaf itu, yang dikritik beberapa pihak, termasuk bekas timbalan menteri undang-undang daripada Amanah, Hanipa Maidin dan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.
Anwar dalam temu bual berkata, kerajaannya memberi kuasa kepada agensi penguatkuasaan mengambil tindakan tegas membabitkan rasuah, yang mana mereka akan membuat pendakwaan di mahkamah atau menjalankan siasatan.
“Kadang-kadang dalam bidang akademik, kadang-kadang dalam pertanian, kadang-kadang dalam lembaga agensi, terlalu ramai.”
Beliau berkata, ada pihak mendakwanya bertindak keterlaluan dalam memerangi rasuah, tetapi tegasnya rasuah adalah sistemik di Malaysia yang memerlukan kerajaan dan pembasmi rasuah berusaha sedaya upaya mencari punca masalah.
“Nasib baik saya dibantu ramai rakan sekerja dan ketua perkhidmatan awam yang cukup berazam memastikan kita mempunyai kuasa (perkhidmatan awam) yang sah, cekap dan berintegriti.”
Sumber : Free Malaysia Today