Hentikan semua jenis keganasan dan ketakutan terhadap wartawan


(A) : Bersempena International Day to End Impunity for Crimes Against Journalists pada 2 November 2024 The Centre For Independent Journalism (CIJ), Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka Malaysia (GERAMM) ingin menegaskan bahawa jenayah, pengabaian, dan keganasan dalam semua bentuk terhadap wartawan perlu dihentikan.

Kami berdiri bersama wartawan di seluruh dunia yang terkesan oleh isu ini dan menyeru semua pihak untuk bersatu demi memelihara kebebasan media dengan melindungi wartawan sebagai agen demokrasi.

Berdasarkan penurunan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2024 oleh Reporters Without Borders, adalah kritikal untuk mengakui keperluan mendesak untuk menangani kemerosotan kebebasan media di Malaysia. Jelas bahawa, walaupun pada tahun 2024, tapisan berlebihan dan kewujudan undang-undang yang menindas terusmenjadi ancaman kepada kebebasan media dan hak wartawan untuk kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Satu kebimbangan yang semakin meningkat yang mengancam landskap media Malaysia baru-baru ini adalah keganasan ekonomi dalam bentuk gaji rendah, keadaan kerja yang tidak selamat, dan ketidak jaminan pekerjaan. Pelbagai isu baru-baru ini telah memburukkan lagi kelestarian ekonomi wartawan dalam landskap media Malaysia.

Antaranya termasuk penstrukturan semula dan pemberhentian pekerja di beberapa portal utama dalam talian seperti Free Malaysia Today, Malay Mail, dan The Scoop. Kami juga menyaksikan The Vibes, The Malaysian Insight dan GETARAN gagal membayar gaji sekumpulan wartawan dalam organisasi mereka.

Sebagai agen demokrasi yang menyokong media, keadaan ekonomi wartawan yang tidak mampan merupakan suatu perkara yang tidak boleh diterima. Bagi melaksanakan peranan mereka dengan berkesan, mereka perlu diberikan imbuhan yang adil serta keadaan kerja yang layak dan selamat.

Tambahan pula, kekurangan kebertanggungjawaban terhadap tindakan yang dikenakan kepada wartawan sepanjang kerjaya mereka telah lama tidak ditangani di Malaysia. Pada bulan Ogos, tiga wartawan Malaysiakini dipanggil untuk siasatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung sumber maklumat bagi artikel mengenai dakwaan rombakan pegawai atasan polis.

Ini adalah satu penghinaan terhadap prinsip perlindungan sumber yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, yang membolehkan wartawan melaksanakan peranan mereka untuk memaklumkan orang awam dengan berkesan, sekali gus menjejaskan keupayaan mereka menjalankan tugas dan hak rakyat untuk mendapatkan maklumat.

Kekurangan kehendak politik untuk memulakan pembaharuan undang-undang yang konstruktif juga terus memupuk budaya ketakutan apabila undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1949, Akta Rahsia Rasmi, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia terus menggalakkan penapisan sendiri kerana bimbang terhadap tindakan undang-undang dan kerenah birokrasi.

Mengiktiraf kepentingan media dan mengekalkan kedudukan mereka dalam masyarakat kita mestilah dipegang pada tahap tertinggi dalam semua institusi di Malaysia.

Kami mendesak agar Majlis Media Malaysia (MMC) sebagai badan kawal selia sendiri yang bebas dan melibatkan pelbagai pihak industri ditubuhkan tanpa berlengah lagi, serta diberikan mandat kuasa untuk melindungi wartawan secara undang-undang, fizikal, ekonomi, dan sosial serta integriti landskap media kita.

Oleh itu, bersempena dengan IDEI, CIJ, GERAMM, Kedutaan Belanda, dan Pasukan Negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCT) menganjurkan Festival Solidariti Media pada 16 November 2024 untuk memberi pencerahan terhadap isu-isu ini. Semua acara, termasuk persembahan langsung, bazar, podcast langsung, sesi pembicara, dan pameran akan menampilkan sepenuhnya wartawan dan bekas wartawan bagi menyokong perniagaan mereka serta mengetengahkan cabaran ekonomi dan kesukaran yang dihadapi wartawan dalam menjalankan tugas mereka.

IDEI dan Festival Solidariti Media adalah panggilan mendesak kepada pembuat dasar dan ketua syarikat media: pengabaian hak pekerja wartawan, gangguan terhadap agen demokrasi yang menjalankan tugas mereka, dan ancaman terhadap landskap media kita tidak boleh dibiarkan berterusan.

Sumber : Aliran



Comments
Loading...