Tan Sri Vincent Tan dan U Mobile
1. Persoalan ini sekarang sedang bermain di minda rakyat. Macam-macam dikupas.
2. Sejak dua hari lepas apabila tular pengesahan di media bahawa U Mobile telah
diberikan tanggungjawab membangun rangkaian 5G kedua Malaysia.
3. Digital Nasional Berhad (DNB) anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan
(Diperbadankan) yang diberi mandat penuh oleh Kerajaan Malaysia untuk menjadi
pihak neutral tunggal bagi melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G ke seluruh
Negara menganggar kos prasarana keseluruhan adalah RM16.5 Bilion.
4. Media arus perdana serta media atas talian lain telah mula memuat naik pelbagai
cerita. Ada juga yang kurang enak melihat kepada penama seperti syarikat yang ada
kaitan dengan tabung pelaburan dan dana mahsul Kerajaan Singapura.
5. Carian terkini akan menunjuk 48.3% syarikat U Mobile dimiliki Straits Mobile
Investments Pte Ltd. Ya, syarikat Singapura.
6. U Mobile kini umum hendak kurangkan milikan asing. Pagi ini kita dimaklum begitu.
Persoalannya kenapa sekarang? Berapa keuntungan yang syarikat asing ini akan
dapat? Kalau nilai kontrak RM16.5 bilion berapa untung melepaskan hampir 28%
saham dari U Mobile? Pelepasan ini sudah lama dirancang atau hanya selepas
peroleh lantikan? Kalau selepas bukankah saham makin bernilai? Bukankah
syarikat Singapura makan untung percuma selepas dapat kontrak mega?
7. Maxis. CelcomDigi. Telekom. Ini semua syarikat Malaysia. Milik orang-orang
Malaysia. Kalau adapun saham orang asing, majoriti milik orang Malaysia. Kenapa
boleh terfikir beri tugasan terkait bidang komunikasi dan data serta prasarana
strategik pada syarikat yang majoriti milikan asing?
8. Tidak dapat disangkal isu ini membawa pelbagai persoalan apatah lagi dahulunya
Kerajaan nekad untuk pastikan rangakain 5G ini menyeluruh dan terbaik. Maka ada
logiknya bila pemain industri mempersoal lantikan ini. Difahamkan Maxis dan
CelcomDigi akan berurusan dengan SKMM untuk beberapa persoalan.
9. Bagaimana pula dengan kelonggaran tambahan dimana SKMM juga, secara
bersyarat, boleh melulus keperluan U Mobile berkolaborasi dengan operator telco
lain bagi pelaksanaan projek ini. Bukankah ianya seolah membenar U Mobile
pegang konsesi utama, makan atas angin, kalau ikut terma orang-orang berniaga.
10. Begitu juga dengan nama Tan Sri Vincent Tan yang dilihat antara orang kuat dalam
U Mobile serta kaitan dengan Berjaya Group. Dikaitkan pula hubungan perniagaan
dengan individu-individu lain.
11. Persoalan yang sama juga akan bermain di kalangan pengurus-pengurus dana
dalam dan luar negara. Malah CIMB Securities juga menyatakan keputusan SKMM
adalah mengejutkan bukan sahaja kepada firma itu tetapi kepada pasaran
keseluruhannya.
12. Rakyat melihat Maxis dan Celcom Digi membina rangkaian sendiri di seluruh negara
dan punyai jauh lebih ramai pengguna serta kekuatan dalam kutipan hasilnya dalam
bidang telco. Mengapa U Mobile, itu persoalan yang sedang ditanya.
13. Perkembangan sebegini juga bakal dipersoal oleh pelabur-pelabur luar negara yang
akan melihat seolah-olah perlu ada ‘kabel’ dalam mendapat awad-awad bagi kerja
kerja sebegini. Adakah ianya benar?
14. Persoalan-persoalan ini adalah soalan-soalan yang mungkin kita semua kurang
selesa untuk bertanya. Tetapi sebagai rakyat yang akhirnya akan terkesan ianya
persoalan yang mesti ditanya.
15. Maka kepada Ketua Polis Negara dan Menteri Komunikasi merangkap jurucakap
Kerajaan, adakah apa-apa diskusi mengenai U Mobile ini akan melawan 3R?
16. Persoalan-persoalan ini juga mesti dibangkit di Dewan Rakyat. Di era melawan
penyakau, golongan mahakaya dan elit, tentu sekali Kerajaan akan beri jawapan.
17. Rakyat menanti…
Rafique Rashid
Ketua Penerangan PEJUANG
04.11.2024