Titah Adendum: Takiyuddin minta kerajaan tanya Yang di-Pertuan Agong ke-16



(MP) : AHLI Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan meminta kerajaan menjelaskan sama ada Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani tahanan di rumah wujud atau tidak.

Setiausaha Agung PAS itu mempertikai kenyataan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menjelaskan bahawa kerajaan berpegang kepada keputusan mahkamah yang menanggapnya sebagai “khabar angin”.

Takiyuddin berkata, jawapan yang diberikan Saifuddin tidak memadai kerana rakyat ingin mengetahui sama ada titah berkenaan wujud ataupun tidak.

Katanya, kerajaan boleh bertanyakan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini sama ada baginda ada memberikan titah berkenaan atau sebaliknya.

“Sebagai kerajaan apabila wujudnya  isu Adendum ini boleh kerajaan jelaskan ada ataupun tidak ada Adendum itu.

“Bukan masalah hearsay tak hearsay, perdana menteri atau menteri boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong yang dulu tanya Yang di-Pertuan Agong ada tak Adendum itu,” katanya ketika mencelah pada sesi penggulungan oleh menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin membangkitkan perkara itu apabila Saifuddin menjelaskan yang kerajaan berpegang kepada keputusan mahkamah sebelum ini bahawa titah Adendum bersifat khabar angin.

Menjawab perkara itu, Saifuddin berkata jika ada pertikaian antara rakyat dan kerajaan sudah tentu mahkamah yang akan membuat keputusan.

“Kalau mahkamah kata hearsay, yang berhormat faham tak hearsay, pandangan yang berhormat kerajaan kena tanya…itu pandangan yang berhormat,” kata Saifuddin.

Takiyuddin bagaimanapun terus mempersoalkan Saifuddin dengan mendakwa keputusan mahkamah bahawa perkara itu ‘hearsay’ adalah pada afidavit bukan Titah Adendum.

“Hearsay itu afidavit, isunya (Titah Adendum wujud atau tak) bukan hearsay,” kata Takiyuddin.

Pada 3 Julai lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib, 71, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan Titah Adendum itu, selepas berpendapat empat afidavit bagi menyokong permohonan Najib, termasuk oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.

Najib kemudiannya menfailkan notis rayuan pada 9 Julai.Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pesuruhjaya Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.- Malaysiapost

Source : Malaysiapost



Comments
Loading...