Bimbang kekuatan PAS, GERAKAN syor PN buat deklarasi untuk bukan Melayu
GERAKAN mengesyorkan Perikatan Nasional (PN) membuat satu deklarasi untuk bukan Melayu dalam usaha mengubah persepsi, ketakutan dan kebimbangan mereka terhadap gabungan parti itu.
(BH) – Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau, mendakwa masyarakat bukan Melayu ketika ini bimbang dan khuatir terhadap PAS yang menjadi blok parti Melayu terbesar dalam PN serta mempunyai bilangan kerusi terbanyak di Parlimen.
“Kita boleh buat satu deklarasi kepada bukan Melayu, memang bukan Melayu sekarang takut, bimbang dan khuatir, sebab PAS menjadi kuat. Oleh itu, kita boleh buat satu deklarasi.
“BERSATU membela hak orang Melayu, PAS membela hak Muslim, ketika membela hak, masing-masing jangan mempengaruhi hak kaum lain,” katanya menyampaikan ucapan dasar sempena Persidangan Perwakilan Nasional ke-52 di ibu pejabat GERAKAN di sini hari ini.
Turut sama hadir, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Awang Hashim.
PAS kini mempunyai 43 kerusi di Parlimen, sekali gus menjadi parti Melayu terbesar bukan saja dalam PN, tapi di Dewan Rakyat, sementara BERSATU pula memiliki 25 kerusi Parlimen, iaitu selepas enam Ahli Parlimennya dipecat keahliannya.
Mengulas lanjut, Lau berkata, kedudukan PAS sebagai parti Melayu terbesar di Parlimen menyebabkan parti itu sering menjadi sasaran musuh serta dipersalahkan terutama dalam banyak isu berkaitan agama dan kaum.
“Orang (bukan Melayu) kata, dulu mereka tak takut sebab PAS belum kuat. Sekarang, mereka rasa takut sebab PAS sudah jadi parti politik terbesar di Malaysia. Apa punca ketakutan, kebimbangan ini, kita kena buat analisis.
“Dulu tak takut, sekarang takut, ini adalah perbezaan persepsi. Ini adalah situasi sekarang. Apa pengajaran? satu, memang tiada betul atau salah tetapi kita berada dalam perspektif berbeza, kita kena komunikasi untuk sampaikan mesej jelas kepada rakyat,” katanya.
Justeru, beliau mahu PN membuat pendirian lebih jelas yang berupaya menarik sokongan pengundi bukan Melayu kepada PN.
“Pendirian kita penting. Ini akan mengubah pengundi untuk menyokong PN atau PH. Baru-baru ini saja, kita nampak bukan Melayu berasa marah dalam isu tahanan rumah kepada (Datuk Seri) Najib (Razak). Ada juga isu kibar bendera China oleh rakyat China.
“Isu seperti ini akan mempengaruhi kita (PN) boleh menang atau tidak. Pendirian PN sangat penting. Kita mesti mendapat sokongan daripada pengundi (bukan Melayu) kepada PN,” katanya.