Bung Moktar, isteri diperintah bela diri tiga tuduhan rasuah


Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
(Astro Awani) – Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan suami isteri berkenaan yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Sept 2023.
Pada 18 Sept 2023, pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid pada 7 Sept 2023 yang membebaskan pasangan itu daripada pertuduhan berkenaan.

Mahkamah Tinggi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 Sept 2022 yang memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan itu.

Hakim Mohamed Zaini ketika membacakan keputusan sebulat suara itu berkata, isu kritikal dalam rayuan ini ialah sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai hak untuk menyemak semula penemuan kes prima facie.
Beliau berkata, perbicaraan jenayah biasanya akan bermula apabila seorang tertuduh didakwa dengan sesuatu tuduhan, kemudian pihak pendakwaan akan memulakan kesnya terhadap tertuduh dengan memanggil saksi serta mengemukakan bukti untuk menyokong kes mereka terhadap tertuduh.
“Pada akhir kes pendakwaan, mahkamah perbicaraan perlu menganalisis keterangan saksi-saksi dan bukti yang dikemukakan dengan penilaian maksimum dan memutuskan sama ada perdakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
“Kes prima facie dibuktikan terhadap tertuduh apabila pihak pendakwaan telah mengemukakan bukti kukuh dan dipercayai yang membuktikan setiap elemen kesalahan boleh membawa kepada sabitan, jika tidak dipatahkan atau dijelaskan,” katanya.
Hakim seterusnya berkata jika mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, mahkamah hendaklah membebaskan tertuduh.
“Jika mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh atas kesalahan yang didakwa, mahkamah hendaklah memanggil tertuduh untuk membela diri. Keputusan untuk membebaskan atau memanggil tertuduh untuk membela diri dibuat setelah hakim bicara membuat penilaian maksimum.
“Prosedur dan kriteria ini ditetapkan di bawah Seksyen 173 Kanun Tatacara Jenayah dan peruntukan di bawah seksyen ini adalah mandatori. Sebaik sahaja mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, mahkamah hendaklah memanggil tertuduh untuk membela diri kerana perkataan ‘hendaklah’ dalam peruntukan ini tidak memberi pilihan lain kepada mahkamah,” katanya.
Hakim Mohamed Zaini berkata undang-undang menetapkan bahawa tertuduh tidak boleh membuat rayuan terhadap keputusan untuk memanggil pembelaan.
“Keputusan mahkamah pada peringkat ini tidak tertakluk kepada rayuan kerana ia bukan penyelesaian akhir terhadap hak-hak responden yang meminta semakan terhadap penemuan ini pada dasarnya sama dengan mengemukakan rayuan terhadapnya. Proses perbicaraan yang sewajarnya mesti diteruskan, bagi membolehkan mereka menyediakan pembelaan,” katanya.


Comments
Loading...