Sentimen pengundi cenderung parti tempatan ubah pendirian Warisan, kata penganalisis
Bilcher Bala berkata Warisan tidak mahu tersisih bersama parti nasional pada PRN Sabah.
(FMT) – Sentimen sokongan kepada parti tempatan yang didakwa membuak-buak dalam kalangan pengundi menjelang PRN Sabah mungkin membuatkan Warisan sedia bergerak solo, kata penganalisis.
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpendapat, Warisan diketuai bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal sebagai parti tempatan pasti mahu memanfaatkan sokongan sedemikian dalam merebut sebanyak mungkin kerusi.
“Mereka tidak ingin tersisih bersama parti nasional (jika bekerjasama), apatah lagi rundingan bersama Barisan Nasional (BN)/Umno semakin tipis.
“Pada awalnya Warisan pernah memikirkan kerjasama Umno Sabah yang bagaimanapun masih terikat dengan pusat untuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) walaupun mempunyai rancangan sendiri berasaskan hak autonomi,” katanya kepada FMT.
Selain Warisan, komponen dianggotai majoriti parti tempatan di Sabah termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diketuai Hajiji Noor.
Sebelum ini, Warisan diuar-uarkan bakal bekerjasama dengan BN, namun bulan lalu Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata komponen itu akan kerjasama dengan PH, selain tidak menolak kemungkinan bersama GRS.
Bagaimanapun, belum ada kata muktamad dengan perbincangan masih berjalan.
Kelmarin, Ketua Penerangan Warisan Azis Jamman berkata partinya tidak akan bekerjasama dengan parti nasional, sebaliknya mahu bersama parti tempatan Sabah atau sedia bergerak solo pada PRN dijadualkan tahun depan.
Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah pula berpandangan, tindakan Warisan mahu bergerak solo mungkin mahu menguji tahap penerimaan rakyat kepada mereka.
“Bagaimanapun terlalu awal untuk membincangkan berapa kerusi mampu dimenangi kerana ada beberapa faktor penting mempengaruhi prestasi parti bakal bertanding.
“Kena tengok pakatan politik, sentimen rakyat, faktor calon dan pengundi muda,” katanya.