Buang 4 ‘penyakit’ jika mahu kembali kuat pada PRU, Johari beritahu BN


‘Penyakit’ seperti delusi dan amnesia menjadi punca kelemahan gabungan itu pada siri PRU lepas, kata pengerusi BN Wilayah Persekutuan.

(FMT) – Barisan Nasional (BN) perlu membuang empat ‘penyakit’ yang membelenggunya ketika ini jika mahu kembali kuat pada PRU akan datang, kata Johari Abdul Ghani.

Pengerusi BN Wilayah Persekutuan itu berkata, empat ‘penyakit’ itu, termasuk delusi kononnya ia masih mendapat sokongan rakyat, menjadi punca kelemahan gabungan itu dalam beberapa siri PRU sebelum ini.

“Kedua, ‘penyakit’ amnesia (mudah lupa). Terlupa akan sebab BN diwujudkan, lupa apa tujuan perjuangan asal dengan berkorban masa dan wang ringgit. Sebaliknya kita kini bekerja untuk apa kita akan dapat. Ini perlu diperbetul.

“Seterusnya ‘penyakit’ inertia, iaitu enggan buat perubahan. Keempat, ‘arrogant’ (sombong), tidak boleh terima teguran, tidak boleh terima kesalahan, tidak mahu bertolak ansur,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN Wilayah Persekutuan 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Johari yang juga naib presiden Umno berkata, beliau yakin BN akan kembali memerintah dengan cemerlang sekiranya semua ahli BN, termasuk parti komponen, bersatu hati untuk meraih kejayaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, BN perlu menyusun strategi bukan sahaja untuk mempertahankan kerusi, tetapi merampas kawasan dikuasai pembangkang, termasuk dua kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan iaitu Putrajaya dan Labuan.

“Saya nak minta kepada pengerusi BN, ‘book’ awal Labuan dan Putrajaya untuk BN bertanding. Yang lain, terserah kepada budi bicara (beliau) untuk memikirkan bagaimana dapat bersama dalam kerajaan perpaduan khususnya dalam konteks lebih besar,” katanya.



Comments
Loading...