Adun Bersatu kecewa gugur sebagai exco Perlis kerana politik, bukan prestasi


Wan Zikri Afthar Ishak meminta persoalan sama ada wujud campur tangan menyebabkan namanya digugurkan ditanya kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

(FMT) – Adun Tambun Tulang Wan Zikri Afthar Ishak dari Bersatu kecewa dengan penggugurannya sebagai exco Perlis hari ini yang didakwanya berkait campur tangan politik, bukan prestasinya.

Beliau memegang portfolio belia dan kemajuan sukan, pembangunan industri kecil dan sederhana dan wilayah ekonomi baharu, pemerkasaan usahawan dan ekonomi kreatif negeri sejak 16 Dis tahun lalu.

Wan Zikri percaya beliau telah memberikan prestasi terbaik seperti membantu Perlis menang 12 pingat emas, 15 perak dan 16 gangsa pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak selain menambah peruntukan RM1.8 juta kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis.

“Bila saya tanya MB (Mohd Shukri Ramli) sebab digugurkan beliau hanya kata kerana politik tapi maksudnya itu kamu kena tanya beliau…bukan sebab prestasi tak baik.

“Saya diberitahu nama saya tak diletakkan sebab bukan pilihan…boleh semak dengan Muhyiddin Yassin (presiden Bersatu) adakah wujud campur tangan, saya faham mungkin sebab hierarki parti,” katanya kepada FMT.

“Pada saya pencapaian harus jadi keutamaan dan mengatasi segala-galanya, nak singkir tunggulah setahun lalu supaya saya sempat buat banyak lagi kerja.”

Wan Zikri turut mendakwa diberitahu Shukri akan kekal sebagai exco jika dapat membawa balik banyak pingat pada Sukma Sarawak dan selesaikan pelbagai masalah,.

“Tapi selesaikan pun tak terus juga, saya percaya kepada KPI. Tetapi maksudnya sini tak perlu kerja keras pun asalkan dapat menggembirakan seseorang pun boleh kekal,” katanya.

Turut digugurkan Adun Pauh Megat Hashirat Hassan, juga dari Bersatu yang sebelum ini memegang portfolio kesihatan, kebajikan dan pengurusan bencana, sains, teknologi, inovasi dan teknologi hijau, alam sekitar dan perpaduan negeri.

Tempat mereka digantikan Ketua Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah (Adun Kuala Perlis) dan Adun Sena Marzita Mansor yang mengangkat sumpah sebagai exco bersama Adun Guar Sanji dari PAS Mohd Ridzuan Hashim.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, hari ini.

Sebagai rekod, Abu Bakar pernah mengisytiharkan perang terhadap Shukri tahun lalu dan mendesak pesuruhjaya PAS itu meletak jawatan selepas namanya tiada dalam senarai exco kerajaan Perlis buat kali kedua tahun lalu, walaupun sudah mendapat surat sokongan dari Muhyiddin.

Sementara itu, Megat Hashirat berkata keputusan itu mungkin dibuat berdasarkan perancangan pentadbiran Shukri yang diyakini telah membuat pertimbangan sebaiknya.

“Setakat sekarang tiada (punca disebabkan isu dalaman Bersatu), jadi pertukaran itu atas pertimbangan strategi MB.

“Saya anggap ini satu hikmah, apapun saya tetap bersama MB dan rakan-rakan,” katanya.



Comments
Loading...