Johari sahkan terima saman pemula daripada Bersatu


Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan sudah menerima saman pemula daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan keputusannya tidak mengosongkan kerusi lima Ahli Parlimen dipecat parti itu, sebelum ini.

(Harian Metro) – Johari bagaimanapun berkata, beliau masih belum melihat saman pemula yang dihantar pada minggu lalu.

“Saya ingat (terima saman pemula) minggu lepas, tapi saya belum tengok lagi. Sudah tentu pihak Peguam Negara akan jawab bagi pihak kerajaan.

“Jadi, saya serahkan kepada Peguam Negara untuk melaksanakan tugas mereka dan kita akan tengok selepas ini,” katanya selepas merasmikan Kempen Elimination Of Violence Against Women (EVAW) di lobi Parlimen, hari ini.

Baru-baru ini, Bersatu mengemukakan saman pemula di Mahkamah Tinggi bagi menuntut perisytiharan keputusan Johari tidak mengosongkan kerusi lima Ahli Parlimen yang dipecat parti itu sebagai tidak berperlembagaan.

Saman pemula itu difailkan Setiausaha Kerja Bersatu, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Whip parti, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selaku plaintif, pada 15 November lalu melalui firma guaman, Tetuan Chetan Jethwani & Company.

Mereka menamakan Johari dan lima Ahli Parlimen iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) sebagai defendan.

Mengulas lanjut, Johari berkata, beliau tidak boleh memberikan sebarang komen berkaitan perkara itu dan menegaskan tindakan dibuatnya berdasarkan undang-undang.

“Saya tidak boleh komen sebab saya bertindak atas landasan undang-undang, jadi kita kena selesaikan ikut lunas undang-undang,” katanya.

Menurutnya, tindakan yang dibuat oleh Bersatu juga adalah hak parti itu untuk mengemukakannya.

“Saya rasa semua rakyat negara ini dan parti, punyai hak berlandaskan undang-undang. Apa pun tindakan selepas ini berlandaskan undang-undang,” katanya.



Comments
Loading...