Pembiayaan kos lawatan PM ada usur rasuah, SPRM perlu siasat – Ku Li


(MP) : PENGAKUAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kos perjalanannya dan delegasi ke luar negara baru-baru ini dibiayai syarikat swasta membayangkan wujudnya unsur rasuah.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata sewajarnya pihak berkuasa Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Kenyataan yang terbit dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini oleh perdana menteri kita, saya kata itu seolah-olah pengakuan bahawa adanya elemen rasuah.

“Saya rasa benda macam ni patut kita serah kepada SPRM siasat kerana kita di bawah kerajaan ini pun tak suka berlakunya rasuah dan sebagainya.

“Apatah lagi dikalangan mereka yang berada kedudukan dalam pemerintahan,” katanya dalam satu hantaran di TikToknya.

Minggu lalu Anwar memaklumkan Dewan Rakyat bahawa 70 hingga 80 peratus kos perjalanannya ke lima negara ditanggung syarikat swasta yang turut mengikuti urusan itu.

Anwar berkata, ia adalah pendekatan lain di bawah pentadbirannya untuk memastikan perbelanjaan bagi membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan dengan secekap mungkin.

Beliau berkata, syarikat yang membantu membiayai kos perjalanannya adalah mereka yang mempunyai kepentingan perniagaan dan pelaburan di negara ini.

“(Lawatan) Baru-baru ini kita buat cara lain sebab saya lihat kos perjalanan selalunya agak tinggi. Jadi, kali ini apa yang kita lakukan adalah dengan kerjasama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz).

“Kita undang syarikat-syarikat terbabit umpamanya PETRONAS, Sapura Energy, Yinson, PROTON dan (syarikat semikonduktor) yang datang mengikuti dalam rombongan (negara). Mereka bayar tambang dan kos.

“Jadi, maknanya tak salah saya sekitar 70, 80 peratus kos penerbangan itu ditanggung oleh syarikat yang ada kepentingan perniagaan pelaburan. Kerajaan bantu syarikat ini sama ada import dan eksport,” katanya.

Sumber – Malaysiapost



Comments
Loading...