Hishammuddin, KJ boleh kembali kepada UMNO jika tunjuk komitmen seperti Tajudin
(BH) : Kemasukan semula bekas pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin (KJ) yang dikenakan tindakan sebelum ini mungkin boleh dipertimbangkan sekiranya mereka menunjukkan komitmen seperti bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Tajuddin yang digantung keahlian selama enam tahun sebelum ditarik balik pada Isnin lalu, menghantar empat kali surat rayuan untuk kembali bersama parti.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada UMNO sedia mempertimbangkan kemasukan semula Hishammudin yang juga bekas Naib Presiden UMNO (digantung enam tahun); Khairy (bekas Ketua Pemuda dipecat sebagai ahli) dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Hamdan (digantung enam tahun).
“Jika ada lain-lain ahli UMNO yang melakukan tindakan sama sebagaimana yang dibuktikan Tajuddin (hantar surat rayuan)…saya tidak nampak jika ahli-ahli MKT (Majlis Kerja Tertinggi) juga tidak boleh lakukan keputusan sama,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata Tajuddin juga menunjukkan komitmen dan sokongannya ketika pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota selain turut menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.
“Beliau telah datang memperlihatkan dokongannya sewaktu PRK di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan dan DUN Mahkota, Johor.
“Beliau juga hadir dalam PAU lalu dan saya tidak nampak kenapa Majlis Tertinggi (MKT) tidak bersetuju dengan rayuan beliau,” katanya.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini dilaporkan berkata keputusan menarik balik hukuman penggantungan ke atas Tajudin diputuskan dalam mesyuarat MKT parti.
Sumber : Beritaharian