Shahril Hamdan tidak lagi relevan – Ahmad Zahid
(U) : “Beliau tidak lagi relevan.” Itu reaksi ringkas Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan Shahril Sufian Hamdan yang mendakwa Presiden UMNO itu hanya mahu menjadi hero dengan membawa naratif mengenai ada usaha memujuk Barisan Nasional (BN) meninggalkan Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulan Disember 2024 dan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.
Dalam satu episod podcast, bekas Ketua Penerangan UMNO itu berkata, dakwaan Timbalan Perdana Menteri tersebut hanya dibuat untuk memperbaiki imejnya.
Kata Shahril Hamdan, naratif itu adalah ‘kemahiran’ Ahmad Zahid bertujuan untuk menjadikannya kelihatan seperti seorang wira.
“Beliau tampil sebagai penyelamat (Kerajaan Perpaduan) dengan menolak jawatan perdana menteri demi kebaikan yang lebih besar,” katanya.
Shahril Hamdan telah digantung keahlian selama enam tahun sejak Januari tahun lalu bersama bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Sebelum ini, Ahmad Zahid mendedahkan, ada usaha memujuk BN untuk keluar Kerajaan Perpaduan dengan menawarkan jawatan Perdana Menteri.
Pengerusi BN itu mendedahkan, wujud usaha baharu oleh pihak tertentu untuk mengganggu kestabilan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun Ahmad Zahid tidak memperincikan lebih lanjut pihak yang membuat tawaran tersebut.
“Ada yang menawarkan kononnya mahu menggantikan kerajaan sedia ada dan mahu melontarkan (mencadangkan) kita sebagai PM.
“Saya cakap don’t waste time (jangan buang masa), marilah kita memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan yang sedia ada ini,” katanya.
Sumber : Utusan