Hina Speaker di TikTok, Ahli Parlimen Pendang digantung 10 hari


Johari Abdul berkata beliau telah memberi peluang kepada Awang Hashim memohon maaf, namun beliau gagal berbuat demikian.

(FMT) – Awang Hashim (PN-Pendang) digantung selama 10 hari daripada menghadiri sidang Parlimen kerana didakwa menghina Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menerusi video TikTok dan gagal memohon maaf.

Johari berkata Awang telah mengeluarkan kenyataan menghinanya menerusi platform media sosial itu pada 18 Jul lalu, dengan mendakwa Speaker berlaku zalim terhadapnya dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menurut Johari, wakil rakyat PAS itu tidak memohon maaf walaupun beliau telah menghantar surat pada 22 Jul selain meminta setiausaha Dewan Rakyat serta Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan menasihatkan Awang berbuat demikian.

Beliau juga telah memperincikan kesalahan itu pada 6 Nov lalu namun permohonan maaf masih tidak lagi diterima

“Kenyataan dan tindakan Pendang telah menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat, kenyataan di TikTok bukan hanya dakwaan serius tetapi menyalahi hak serta keistimewaan sebagai Ahli Parlimen.

“Sehubungan itu saya mengarahkan Pendang keluar dari dewan 10 hari berdasarkan Peraturan Mesyuarat 44 (2),” katanya.

Keputusan itu menimbulkan suasana riuh terutama di blok pembangkang yang membantah di mana Ronald Kiandee (PN-Beluran) bangun membangkitkan peraturan itu tidak boleh digunakan bagi kesalahan di luar dewan.

Bagaimanapun, Johari menjawab hujah Kiandee dengan merujuk keputusan dibuat Kiandee ketika menjadi timbalan speaker menggantung Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran pada 2013 kerana menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia sewaktu sidang media.

“Ketika itu Beluran (Kiandee) mempengerusikan majlis,” katanya.

Kekecohan sekali lagi tercetus ketika Awang hendak keluar dan beliau sempat mengeluarkan kenyataan “Hang nak mampuih hari itu” terhadap Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang baharu sahaja kembali ke Dewan Rakyat selepas selesai rawatan kesihatan.

Pada 26 Feb lalu, Awang menjadi Ahli Parlimen pertama digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama empat hari oleh Johari kerana enggan menarik balik kenyataan dibuatnya.

Namun Johari pada keesokan harinya membatalkan penggantungan itu selepas Awang menarik balik kenyataannya dan memohon maaf.

Pada 15 Jul, beliau diarah keluar Dewan Rakyat dan digantung tiga hari selepas enggan menarik balik tuduhan anti-Islam terhadap Rayer.



Comments
Loading...