Kenyataan mengesahkan adendum tahanan rumah palsu – Dr Zaliha
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menafikan beliau ada mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan adendum penahanan rumah.
Beliau berkata, kenyataan media tersebut adalah palsu.
(Buletin TV3) – “Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Tegasnya, beliau akan mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mengeluarkan dan menyebarkan kenyataan media palsu berkenaan.
Terdahulu, tersebar satu kenyataan media bertarikh hari ini didakwa dikeluarkan oleh Dr Zaliha kononnya adendum yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 membabitkan tahanan di rumah kepada Datuk Seri Najib Razak adalah sahih dan benar.
Dalam kenyataan palsu itu, Dr Zaliha sebagai menteri yang dipertanggungjawab dalam Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dikatakan memohon semua pihak bertenang sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan perkara tersebut.
Semalam, di Makamah Rayuan, Najib memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya bagi menyokong dakwaannya tentang kewujudan titah adendum diraja yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun kepada tahanan di rumah.
Sebelum ini, pada 3 Julai, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman.
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan bekas Perdana Menteri itu, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan bersalah atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut.
Namun, hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun penjara, manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta susulan petisyen pengampunan diraja yang difailkan pada 2 September 2022.