‘Jika saya kembali… kena terima idealisme saya lihat UMNO berubah’ – Khairy


Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menzahirkan ‘syarat’ sendiri jika mahu kembali ke parti itu selepas dipecat pada tahun lalu, iaitu beliau tidak akan mengorbankan idealisme yang menjadi pegangannya.

(Harian Metro) – Bekas Menteri Kesihatan itu menjelaskan, beliau tidak berniat untuk ‘berlawan’ dengan sesiapa dalam UMNO tetapi hanya mempunyai impian melihat parti itu menjadi lebih baik.

“Jika satu hari nanti saya nak pulang atau kembali kepada UMNO… ini tidak dirujuk kepada mana-mana pemimpin ya… kita jangan lupa bahawa mesti ada usaha untuk terus pulihkan imej UMNO.

“Saya tak nak tengok ini sebagai satu jalan untuk saya kembali ke politik supaya dapat apa-apa jawatan. Kembalinya saya kepada UMNO mesti datang dengan satu iltizam daripada semua pihak terlibat, pemimpin sedia ada dan saya sendiri.

“Namun, idealisme saya untuk melihat UMNO yang berubah, UMNO yang lebih baik, UMNO yang lebih relevan, UMNO yang lebih segar dan UMNO yang lebih berintegriti… saya rasa saya tidak boleh korbankan itu jika saya hendak kembali.

“Kalau anda boleh terima saya, bak kata Kurt Cobain… ‘come as you are KJ’ (datanglah sebagaimana dirimu KJ) dan saya juga terima (keputusan Lembaga) Disiplin parti… saya rasa ada sesuatu yang boleh bincang kemudianlah,” katanya dalam rakaman audio siar Keluar Sekejap yang disiarkan, hari ini.

Ahad lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, dilaporkan berkata kemasukan semula bekas pemimpin yang dipecat ataupun digantung seperti Khairy dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, boleh dipertimbangkan sekiranya mereka membuktikan komitmen seperti yang ditunjukkan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ahmad Zahid dipetik berkata, Tajuddin yang digantung keahlian selama enam tahun sebelum tindakan itu ditarik balik pada 25 November lalu, telah menghantar empat surat rayuan untuk kembali bersama parti.

Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan sejak dipecat daripada UMNO pada Januari tahun lalu, beliau tidak pernah menyertai mana-mana parti politik walaupun menerima tawaran daripada banyak parti politik lain sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

Malah, katanya, beliau turut menolak tawaran untuk menjadi calon bertanding pada pilihan raya negeri (PRN).

Beliau menegaskan ini kerana hatinya masih ‘terikat’ dengan UMNO dan menganggap diri adalah ahli parti itu selama-lamanya walaupun telah dipecat.

“Dalam hati saya ini sebenarnya masih lagi ahli UMNO. Saya tak keluar UMNO… saya kena pecat dari UMNO. Sampai ke hari ini, saya tak berapa tahu kenapa saya dipecat dari UMNO.

“Tetapi kalau anda acu senjata di kepala saya sekalipun, saya tetap dengan UMNO. Hati saya adalah untuk UMNO. Saya terima baik apa yang disebut oleh Datuk Ahmad Zahid sebelum ini.

“Saya tidak mahu perli. Saya tak nak buat kenyataan sinis kerana ini serius. Kalau orang cakap serius dan baik, kita cakap serius dan baik,” katanya.



Comments
Loading...