Tiada permohonan Tengku Zafrul keluar UMNO – Ahmad Zahid


(SH) : Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tiada sebarang permohonan daripada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk meninggalkan parti itu.

Malah beliau berkata, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu tidak bertemu dengannya untuk menyatakan hasrat tersebut.

“Setakat ini tidak ada permohonan daripada beliau (tinggalkan UMNO dan sertai PKR).

“Beliau tidak bertemu dengan saya jadi kita tidak dapat mengesahkan perkara itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) kali ke-4, di sini pada Sabtu.

Sebelum ini sebuah portal berita media melaporkan, rundingan sengit sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR dengan keputusan dijangka dibuat dalam masa terdekat.

Susulan itu Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya percaya ‘kasih sayang’ Tengku Zafrul yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja kepada parti cukup tinggi dan hubungan peribadi antara mereka juga baik.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh turut mengesahkan tidak menerima borang permohonan daripada Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk menyertai parti berkenaan.

Sumber : Sinarharian



Comments
Loading...