UMNO bukan parti yang boleh ditendang, perlu kaji kedudukan dalam kerajaan
(AA) – Hubungan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan perlu dikaji semula sekiranya benar ada usaha untuk mengambil ahli daripada parti itu.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan UMNO bukan sebuah parti yang boleh ditendang mengikut sesuka hati.
“UMNO bukan parti yang boleh ditendang sana sini, kita ada maruah kita.
“Jika ada ‘kawan’ yang dalam kerajaan sendiri tidak mampu menghormati UMNO dan BN dengan mengambil ahli parti kawan sendiri maka seharusnya kita perlu kaji semula hubungan ini,” katanya dalam hantaran di Facebooknya di sini, pada Ahad.
Muhamad Akmal turut mengimbas situasi ketika era kerajaan Perikatan Nasional (PN), di mana terdapat usaha parti tertentu untuk menarik ahli UMNO.
“Dulu semasa kerajaan PN, ada juga parti kerajaan sibuk nak curi ahli UMNO. Kali ini, jika perkara sama berlaku, pendirian kita perlu lebih tegas,” tegasnya lagi.
Sejak beberapa hari lalu, tular khabar angin mengaitkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bakal menyertai PKR.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan tiada sebarang permohonan daripada Tengku Zafrul untuk meninggalkan parti itu.
Malah beliau berkata, MKT UMNO itu tidak bertemu dengannya untuk menyatakan hasrat tersebut.
Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan, rundingan sengit sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR dengan keputusan dijangka dibuat dalam masa terdekat.
Tengku Zafrul menjadi ahli UMNO Bahagian Kota Raja pada Januari 2023 sebelum mengangkat sumpah sebagai ahli MKT UMNO bulan berikutnya.
Sumber : AstroAwani