Zahid syukur, harap tidak ada pihak pertikai keputusan mahkamah terhadap Rosmah
(MG) : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersyukur terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau yang juga Presiden UMNO juga berharap agar tidak ada pihak yang mempersoalkan keputusan yang dibuat hari ini.
“Apabila ia dilepas dan dibebaskan ertinya kita harus menghormati keputusan institusi kehakiman dan telah memihak kepada Datin Seri Rosmah.
“Saya harap tidak ada pihak-pihak yang mempertikai keputusan mahkamah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kompleks Lateks Agropolitan Chemomoi hari ini.
Awal hari ini, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.
Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri agar kesemua 17 pertuduhan terhadapnya digugurkan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Sumber : Malaysiagazette