‘Zaman Guan Eng dah berlalu, jangan ‘menyiku’ mana-mana sahabat’ – Zahid


Kerajaan Perpaduan

(BH) : Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, supaya tidak menyinggung UMNO yang bersama dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

Presiden UMNO itu berkata, zaman pemimpin DAP itu sudah berlalu dan seharusnya Ahli Parlimen Bagan terbabit memberi kepercayaan kepada pimpinan baharu parti berkenaan.

“Saya fikir saya tak perlulah (ulas) kerana itu pendapat peribadi beliau.

“Zaman beliau (Guan Eng) sudah berlalu dan berilah kepercayaan kepada kepemimpinan DAP yang ada sekarang ini, jangan nak menyiku mana-mana sahabat,” katanya selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.

Guan Eng sebelum ini dilaporkan mengingatkan UMNO bahawa sebarang program bersama parti pembangkang khususnya PAS akan menimbulkan keraguan mengenai kestabilan politik dan kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.

Guan Eng berkata, ia termasuk perhimpunan solidariti atau demonstrasi terutama himpunan aman tanda solidariti kepada Datuk Seri Najib Razak pada Isnin ini.

Katanya, UMNO perlu sedar sebarang program bersama parti pembangkang akan menimbulkan keraguan mengenai kestabilan politik dan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, ditanya sama ada UMNO akan meneruskan perhimpunan aman berkenaan atau sebaliknya, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ia seperti mana yang dilaporkan.

Selain itu, ditanya mengenai hasrat PAS untuk menyertai perhimpunan berkenaan, beliau berkata, perkara itu perlu ditanya kepada parti terbabit.

Sumber : Beritaharian



Comments
Loading...