PH tidak terlibat dalam himpunan solidariti Najib pada Isnin ini – Anwar
(MG) : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Pakatan Harapan (PH) tidak akan terlibat dalam himpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin ini.
Beliau yang juga Pengerusi PH berkata, apa jua hal yang membabitkan Barisan Nasional (BN) perlu dirujuk kepada pengerusi parti komponen itu.
“Itu kena tanya pengerusi Barisan Nasional, Pakatan Harapan tidak terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas lawatan ke Lestari Niaga@KL 1 di Pusat Penjaja Wirawati di sini hari ini.
Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Sehubungan itu, UMNO menganjurkan himpunan solidariti untuk bekas presidennya dan akan turut di sertai oleh parti-parti komponen BN.
Malah tular di media sosial mengenai sepucuk surat oleh Pas yang turut mengarahkan ahlinya berhimpun pada Isnin ini.
Surat dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang serta setiausaha sayap parti itu memaklumkan perhimpunan berkenaan akan diadakan mulai pukul 9 pagi di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.
Media juga melaporkan, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pemimpin dan ahli parti itu bebas untuk menyertai perhimpunan diketuai Pas itu dalam semangat ‘perdamaian nasional’.
Sementara itu, Anwar menyifatkan konflik yang timbul antara Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng hanyalah isu kecil sahaja.
Beliau berkata, isu sudah diredakan dan ia tidak menjadi satu masalah lagi.
“Kita redakan soal Guan Eng tidak ada masalah sikit-sikit kenyataan,” katanya.
Semalam Ahmad Zahid mengingatkan Guan Eng agar tidak menyinggung perasaan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.
Bahkan beliau yang Timbalan Perdana Menteri menempelak Ahli Parlimen Bagan itu bahawa apa jua kenyataannya ketika ini tidak lagi relevan dan perlu diambil serius.
Malah tegas beliau, zaman Guan Eng juga sudah berlalu untuk terlibat dalam isu terkini arena politik tanah air.
Sumber : Malaysiagazette