NAJIB MENANG, ANWAR KECUNDANG
Mahkamah Rayuan sebentar tadi membuat keputusan 2-1 yang memihak kepada Najib Razak dalam rayuannya untuk mengesahkan kewujudan titah adendum.
Dengan keputusan itu, kes semakan kehakiman untuk memaksa Najib diberi tahanan rumah sebagaimana dititahkan dalam titah adendum itu akan diteruskan di Mahkamah Tinggi.
Tiga hakim yang mendengar rayuan Najib di Mahkamah Rayuan ialah Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.
Azizah membuat keputusan menentang, manakala Azhahari dan Mohd Firuz bersetuju dengan rayuan Najib.
Walaupun dengan keputusan Mahkamah Rayuan ini, jalan masih panjang untuk Najib mendapat tahanan rumah, tetapi ini adalah kemenangan yang amat bermakna buat bekas Perdana Menteri itu.
Ini berikutan kerajaan madani pimpinan Anwar Ibrahim yang kononnya bertunjangkan reformasi, sejak awal dilihat memang cuba menyembunyikan titah adendum itu, sekaligus bermaksud menghalang Najib mendapat tahanan rumah sebagaimana dititahkan.
Tetapi, yang penting untuk difahami ialah dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, titah adendum itu adalah benar-benar wujud.
Ia bukan lagi “hearsay” atau perkara dengar cakap sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini yang perkara itu kemudian diulang-ulang oleh pimpinan kerajaan madani bagi memperlihatkan titah adendum itu tidak wujud.
Dengan terbukti titah adendum itu sebenarnya wujud, selain ia merupakan suatu kemenangan buat Najib, dalam masa yang sama, ia juga adalah kekalahan kepada Anwar.
Turut kalah bersama Anwar hari ini mereka yang takut untuk hadir bersolidariti memberi sokongan kepada Najib di Istana Kehakiman.
Kalau Anwar benar-benar ada harga diri, beliau seharusnya meletakkan jawatan dengan segera.
Keputusan 2-1 secara moralnya adalah kekalahan kepada kerajaan dan Anwar yang menyembunyikan titah adendum itu.
Najib hari ini telah menang bersama para penyokongnya yang setia, diikuti melalui sokongan Pas dan pelbagai parti serta NGO yang lain.
Sama ada Najib akan boleh menjalani tahanan rumah atau tidak melalui semakan kehakiman yang akan berlangsung di Mahkamah Tinggi selepas ini, perkara itu bukan lagi perkara utama.
Yang lebih penting, nama Najib kini adalah suatu kebangkitan yang tidak boleh dipandang enteng oleh mereka yang sedang seronok memegang kuasa di Putrajaya.
Hari-hari seterusnya pasti bukan lagi hari yang tenang buat Anwar, malah tidur malam Perdana Menteri juga tidak mungkin selena dulu lagi.
Bila nama Najib semakin jadi sebutan, mudah cakap, hayat politik Anwar semakin menuju ke penghujung.
Himpunan rakyat memberi sokongan kepada Najib di mahkamah pastinya turut lebih meriah dan mendapat sambutan ramai selepas ini.
Sumber : shahbudindotcom