Anwar tak mahu Najib alami nasib sama di penjara
(MK) : Perdana Menteri mengimbas kembali pengalaman dia dipenjara untuk meringankan kesengsaraan ke atas Najib Razak yang dijel atas kesalahan rasuah melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Bercakap kepada media UK semasa lawatan rasminya ke London, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, dia tidak mahu Najib menderita di penjara seperti yang pernah dialaminya.
“Saya juga pernah melalui ‘neraka’ itu, dan kurungan bersendirian. Saya tidak diberi sebarang makanan luar kecuali makanan penjara.
“Tetapi adakah saya perlu melayan Najib dengan cara yang sama? Saya kata tidak, maksud saya, dia adalah bekas perdana menteri,” katanya dalam temu bual dengan Financial Times.
Najib, 71, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyalahgunakan dana RM42 juta milik SRC.
Najib memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 yang membawa kepada keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Tidak seperti Anwar, bekas anggota parlimen Pekan itu juga dibenarkan untuk meminta dan menerima makanan dari luar.
Pada Julai tahun lepas, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menjadi Permaisuri Agong ketika itu memuat naik gambar puding butterscotch yang dibuatnya atas permintaan Najib sebagai pencuci mulut kegemarannya.
Sementara itu, Anwar juga menegaskan bahawa dia tidak akan memaafkan sebarang tuduhan rasuah yang berlaku pada era sebelum dia menjadi perdana menteri.
Ahli Parlimen Tambun itu juga mengulangi tuduhannya bahawa perdana menteri sebelum ini, Dr Mahathir Mohamad, membenarkan dia menderita di penjara.
“Saya diserang dan hampir mati. Saya telah memaafkan perkara itu, saya tak mahu fikir lagi,” kata Anwar yang dua kali dipenjarakan selama hampir sedekad berikutan sabitannya pada 1999 dan 2015.
“Tetapi mencuri daripada dana awam berbilion-bilion (dan) saya tiada kuasa untuk memaafkan kamu. Kamu kena pulangkan dana itu,” tambahnya.
Sumber : Malaysiakini