Hina Agong wajar dihukum penjara bukan denda RM5,000


(MP) – VETERAN UMNO mencadangkan supaya hukuman denda RM5,000 terhadap individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu ditukar kepada hukuman mandatori penjara.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata menghina Agong dan Raja-raja Melayu adalah satu perbuatan yang serius dan melanggar peruntukan perkara dua Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.

“Oleh itu denda yang dikenakan setakat RM5000 tidak bermakna dan memperlekehkan institusi Agong dan Raja-raja.

“Veteran ingin mencadangkan supaya denda itu diganti dengan hukuman penjara mandatori sekurang-kurangnya satu tahun keatas mereka yang didapati bersalah menghina Agong dan Raja-raja Melayu.

“Dalam keadaan tertentu mereka boleh dipertimbangkan untuk digugurkan kerakyatan negara ini.

“Kita patut belajar dari negara-negara lain seperti Thailand yang mengenakan hukuman yang berat kepada rakyatnya yang menghina raja mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Pada 23 Januari lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendenda seorang pemimpin PKR Sarawak RM5,000 kerana menyiarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong di laman Facebooknya empat tahun lalu.

Hakim Datuk M Edwin Paramjothy turut memerintahkan Iswardy Morni, 48, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Dalam penghakimannya, hakim itu menyatakan bahawa kenyataan itu ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Pemerintahan Seri Paduka Baginda bertepatan dengan tempoh pergolakan negara dan global yang luar biasa, terutamanya dengan pandemik COVID-19. Krisis ini melangkaui kesihatan awam, mewujudkan cabaran ekonomi dan politik yang mendalam yang menguji daya tahan negara di seluruh dunia.

“Pada ketika yang mencabar dalam sejarah ini, Seri Paduka Baginda menjalankan peranannya dalam perundingan rapat dengan Majlis Raja-Raja, mempamerkan kepimpinan yang tegas dan proaktif. Adalah didokumentasikan dengan baik bahawa Seri Paduka Baginda memainkan peranan penting dalam mengemudi negara melalui ujian yang menggerunkan ini.

“Seri Paduka Baginda telah memastikan jentera tadbir urus kekal stabil dan kesejahteraan rakyat terpelihara, menunjukkan dedikasi yang teguh untuk melaksanakan tugas di tengah-tengah kesukaran.

“Kenyataan tertuduh itu sangat bertentangan dengan realiti ini,” katanya.- MalaysiaPost

Sumber : Malaysiapost



Comments
Loading...